fbpx
MORBIDELLI meraih kemenangan kedua musim ini selepas melakukan kejutan menjuarai perlumbaan GP Teruel di Litar Motorland malam tadi.

Morbidelli muncul juara GP Teruel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAGON – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli me­raih kemenangan kedua musim ini selepas melakukan kejutan menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Teruel di Litar Motorland malam tadi.

Pelumba Itali tersebut yang memulakan saingan di petak kedua berjaya mengekalkan tunggangan terbaiknya untuk menerajui kedudukan teratas di Litar Aragon selepas pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami yang mencatat masa terpantas kelmarin terjatuh seawal selekoh pertama.

Keadaan itu membuka ruang kepada Morbidelli melakar kemenangan meskipun dicabar hebat dua pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins dan Joan Mir yang ma­sing-masing menamatkan saingan tempat kedua serta ketiga.

“Sungguh luar biasa dan saya tampil agresif pada perlumbaan ini. Saya berikan yang terbaik pada setiap pusingan perlumbaan untuk muncul juara di Aragon.

“Kemenangan ini saya tujukan kepada pasukan kerana mereka bekerja keras menyediakan jentera yang benar-benar sempurna kepada saya untuk muncul juara. Terima kasih pasukan,” kata Morbidelli sejurus tamat perlumbaan.

Pada perlumbaan kali ini juga, pasukan Suzuki tampil cemerlang apabila kedua-dua pelumba mereka menaiki podium berturut-turut di litar yang sama.

Hasil kemenangan tersebut, Mir semakin selesa mendahului carta kedudukan pelumba MotoGP selepas mengumpul 137 mata keseluruhan dan meninggalkan Fabio Quartararo dengan kelebihan 14 mata.

Quartararo terpaksa berpuas hati menduduki tempat kelapan di Aragon sekali gus mengumpul 123, mata manakala Maverick Vinales di kedudukan ketiga dengan 118 mata diikuti Morbidelli di tempat keempat dengan 112 mata. – AGENSI

BERITA BERKAITAN