fbpx

Juruteknik cedera parah rempuh jentera bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Kelisa dipandu Komar Nasrul yang remuk teruk selepas merempuh sebuah jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Santong dekat Dungun hari ini.

DUNGUN – Seorang juruteknik sebuah loji penapisan petrokimia cedera parah selepas kereta jenis Perodua Kelisa dipandunya merempuh sebuah jentera bomba di Kilometer 98.5 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Paka dekat sink hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.05 pagi itu, Komar Nasrul Mohamed, 39, yang berasal dari Taman Ros 2, Paka dekat sini cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, jentera bomba terlibat dalam perjalanan untuk operasi menangkap ular di Kawasan Perindustrian Paka dekat sini.

“Sewaktu keluar dari persimpangan lampu isyarat Santong, bahagian kanan badan jentera bomba itu tiba-tiba dirempuh kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa.

“Mangsa waktu itu sedang memandu keretanya dari arah Kerteh, Kemaman,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Dalam pada itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Terengganu, Azman Alias memberitahu, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dekat sini tersebut telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sewaktu kejadian.

“Siren kecemasan telah dibunyikan selain pemandu jentera tersebut memaklumkan dia telah memastikan keadaan trafik sebelum keluar dari persimpangan berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI