fbpx

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 berkuat kuasa Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong (duduk) menandatangi Instrumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di MOT hari ini.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD NOOR

PUTRAJAYA – Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang membawa hukuman lebih berat untuk kesalahan lalu lintas khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga 45, akan berkuat kuasa 23 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kementeriannya menerima pemberitahuan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa akta itu daripada Jabatan Peguam Negara semalam dan beliau selaku menteri sudah menandatanganinya hari ini.

“Diharapkan pindaan ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang lalu-lintas bagi memastikan jalan raya di negara kita selamat untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pindaan itu ialah Seksyen 41 yang membabitkan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda sebanyak RM20,000 hingga RM50,000.

Pindaan juga dibuat terhadap Seksyen 44 mengenai kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kes yang menyebabkan kecederaan dan yang mengakibatkan kematian.

Mereka yang menyebabkan kematian semasa memandu akan dipenjara antara 10 dan 15 tahun serta didenda antara RM50,000 dan RM100,000 selain hilang kelayakan lesen selama 10 tahun untuk kesalahan pertama.

Pindaan ini juga membawa hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada RM100,000 serta denda maksimum RM150,000 selain hilang kelayakan lesen untuk tempoh 20 tahun, bagi kesalahan berikutnya.

Ka Siong berkata, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 turut mengambil kira pandangan orang ramai melalui kaji selidik membabitkan lebih 345,000 responden yang dilakukan Kementerian, dengan 94 peratus bersetuju hukuman lebih berat dikenakan bagi yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Terdahulu, Ka Siong menandatangi instrumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dalam satu majlis ringkas di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini.

Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), JPJ Malaysia, Zamakhshari Hanipah serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI