fbpx

Ular tedung selar melingkar bawah rak televisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ular tedung selar sepanjang empat meter yang berjaya ditangkap itu dipercayai tersesat dari kawasan sungai berhampiran.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH – Tujuh sekeluarga berdepan detik cemas selepas seekor ular tedung selar tiba-tiba muncul dari sebuah rak televisyen rumah mereka di Jalan Keretapi Lama Pengkalan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, ular tedung selar sepanjang empat meter itu bagaimanapun berjaya ditangkap dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah ini.

Pegawai Operasi APM Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kes menangkap ular (KMU) diterima pada pukul 5. 54 petang dan sepasukan empat anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian kita dapati terdapat seekor ular jenis tedung selar seberat lima kilogram sedang melingkar di sebuah rak televisyen rumah berkenaan.

“Kerja-kerja menangkap ular dibuat dan haiwan berbisa itu dilepaskan di habitat asal di hutan Machap yang jauh dari kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, ular tersebut dipercayai datang dari kawasan sungai yang berada berhampiran rumah didiami tujuh sekeluarga itu.

“Sepanjang bulan ini kita telah melakukan sebanyak 45 operasi KMU dan rata-rata haiwan berbisa ini sesat selepas keluar dari habitat asalnya.

“Bagi kes ini, kita percaya ular tedung selar itu sesat dari kawasan sungai berhampiran rumah terbabit,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI