fbpx

Bina rumah setinggi 50 meter elak gangguan roh jahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEMAKIN tinggi sesebuah rumah kaum Korowai di Papua dibina atas pokok di dalam hutan, semakin terhindar ahli keluarga mereka diganggu roh jahat.

INDONESIA yang merupakan negara kepulauan terbesar di dunia sememangnya terkenal dengan kecantikan dan alam semula jadi yang dianugerahkan Ilahi.

Negara berkepadatan penduduk lebih 200 juta itu turut terkenal dengan pelbagai ritual mengikut adat resam nenek moyang mereka yang unik dan pelik.

Tidak hanya dikenali dengan kekayaan flora dan faunanya, Papua salah sebuah daerah di Indonesia masih memiliki pebagai suku dan masyarakat Asli yang masih mengamalkan kehidupan unik.

Memetik sebuah portal berita Indonesia, di sebelah Papua Barat terdapat sekumpulan suku Korowai yang ditemukan sekitar 35 tahun lalu masih mengamalkan adat resam yang agak pelik hingga kini.

“Suku ini mendiami wilayah Kaibar di Kabupaten Mappi, Papua dan populasi etnik tersebut dianggarkan mencecah 3,000 orang setakat ini.

“Uniknya, suku Korowai yang membuatkan kehidupan mereka terkenal hingga ke dunia luar adalah adat membina rumah di atas pohon setinggi 15 hingga 50 meter,” kata sumber tersebut.

Menurut sumber itu lagi, suku Korowai membina rumah di atas pohon tersebut bertujuan agar terhindar daripada binatang buas, selain gangguan roh jahat yang dikenali sebagai laleo atau iblis kejam.

 

PROSES membina rumah untuk masyarakat Korowai masih menggunakan bahan-bahan yang diambil daripada hutan.

 

Menurut kepercayai suku tersebut, laleo adalah makhkuk jahat yang berjalan seperti mayat hidup dan berkeliaran pada malam hari untuk mengganggu manusia.

“Suku Korowai juga percaya bahawa semakin tinggi rumah yang mereka bina, semakin terhindar daripada gangguan roh-roh jahat tersebut.

“Mereka juga menganggap bahawa pembinaan rumah tinggi tersebut adalah warisan leluhur daripada nenek moyang yang wajib dilaksanakan hingga hari ini,” katanya.

Daripada aspek pemilihan pokok pula, suku Korowai tidak sembarangan memilih pokok dan akan memilih pohon besar dan kukuh sahaja untuk dijadikan rumah.

“Semua bahan yang digunakan untuk pembinaan rumah tersebut adalah bahan semula jadi yang terdapat di dalam hutan itu sendiri.

“Bahagian atas pokok akan ditebang dan dijadikan sebagai ruang utama rumah. Dinding rumah diperbuat daripada batang-batang kayu kecil dan lantainya menggunakan dahan pokok yang kuat,” ujar sumber itu lagi.

 

KAUM Korowai masih mengamalkan kehidupan yang jauh daripada dunia moden.

 

Kebiasaannya, proses pembuatan rumah di atas pokok memakan masa selama tujuh hari dengan menggunakan kudrat sekumpulan suku mereka secara berpasukan.

Sehari sebelum rumah mula dibuat, suku Korowai akan melakukan satu ritual terlebih dahulu pada sebelah malam bagi mengusir roh jahat.

Dipercayai, rumah tersebut kebiasaannya akan bertahan selama tiga tahun sahaja bergantung kepada kekuatan bahan-bahan semula jadi yang digunakan.

“Suku Korowai juga amat memanfaatkan hutan dan menganggap ia sebagai satu anugerah dalam kehidupan seharian mereka.

“Haiwan liar seperti babi dan anjing hutan merupakan ternakan peliharaan utama suku kaum ini.

“Malah, mereka menganggap babi memiliki nilai sosial tersendiri dan hanya akan dibunuh untuk tujuan ritual serta acara-acara khusus sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI