PETALING JAYA – Tindakan pantas kakitangan tren melaporkan kes gangguan seksual membawa kepada penahanan seorang penumpang lelaki di dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS) semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataannya berkata, kejadian itu berlaku sewaktu tren tersebut dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur sebelum petugas memaklumkan kepada pihak berkuasa.
“Anggota polis bertugas mengambil tindakan pantas menahan suspek sebaik tiba di Stesen Tanjung Malim, Perak,” katanya, di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, suspek kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk siasatan, manakala mangsa diberikan bantuan sewajarnya sehingga selesai laporan dibuat.
“KTMB memandang serius sebarang bentuk gangguan atau salah laku yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang. Kami kekal komited menyediakan persekitaran perjalanan yang selamat, selesa dan terjamin,” ujarnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang insiden kepada kakitangan bertugas atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Tambahnya, maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 atau terus kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE














