TUGAS sebagai pengawal keselamatan sekolah bukan sekadar menutup pagar dan membuat rondaan biasa.
Sebaliknya, pengawal keselamatan juga perlu mengekang pelajar degil dan memantau kawasan sunyi pada waktu malam.
Hal ini menyebabkan kadang-kadang mereka perlu berhadapan dengan perkara yang sukar dijelaskan dengan akal manusia.
Berkongsi bersama CitaRasa, Rahman (bukan nama sebenar) turut mengalami situasi mengerikan ketika bertugas di sebuah sekolah asrama di Lembah Klang.
Pada suatu hari, sekitar pukul 12 tengah malam, lelaki berusia 40-an itu melakukan rondaan rutin bagi memastikan tiada pelajar berada di kawasan larangan.
Ketika berada di kawasan berhampiran dewan sekolah, tiba-tiba Rahman terdengar bunyi lantunan bola keranjang.
Pada mulanya, dia beranggapan ada pelajar yang curi-curi berlatih pada lewat malam memandangkan kejohanan sukan antara sekolah tidak lama lagi.
“Pada waktu itu, ada pertandingan bola keranjang akan diadakan. Jadi, saya fikir ada pelajar yang sengaja menyelinap ke dewan untuk berlatih.
“Memandangkan saya masih baharu ketika itu, saya tidak mahu tugas saya dipersoalkan oleh guru nanti.
“Jadi, saya terus pergi ke arah dewan untuk menegur pelajar berkenaan,” katanya.
Sebaik menghampiri dewan, Rahman mendapati dewan dalam keadaan gelap.
Satu-satunya bunyi yang kedengaran adalah lantunan bola yang bergema hingga memecah kesunyian pada malam itu.
Rahman memberanikan diri menegur dengan harapan pelajar itu akan berhenti bermain. Namun tiada jawapan, sebaliknya bunyi bola melantun semakin laju.
Tiba-tiba, Rahman terasa seakan-akan ada orang berlari laju di sebelahnya sehingga membuatkan bulu romanya meremang.
Dia segera menyuluh ke arah gelanggang sambil meraba-raba mencari suis untuk menyalakan lampu. Dalam keadaan cemas itu, Rahman ternampak susuk kurus dan tinggi lampai, berdiri di sebelah jaring bola keranjang.
“Bayangkan, ketinggian standard jaring bola keranjang adalah 3 meter atau 10 kaki. Saya nampak ada susuk hitam tinggi berdiri betul-betul di sebelah jaring itu.
“Saya terduduk kaku kerana terkejut. Tiba-tiba, bola keranjang itu melantun sebelum berhenti betul-betul di depan saya,” katanya.
Rahman segera menutup matanya sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi menenangkan fikirannya.
Jantungnya berdegup kencang apabila terdengar bunyi tapak kasut perlahan-lahan menghampirinya.
Secara tiba-tiba, lampu dalam dewan menyala, namun suasana tetap sunyi, bagaikan tiada apa-apa yang berlaku.
Bola keranjang masih berada di hadapannya, namun dewan itu kosong, tanpa ada seorang pun manusia.
Kata Rahman, dia terus melarikan diri ke pos pengawal yang terletak di hadapan sekolah.
“Sampai sekarang, masih tiada penjelasan tentang pengalaman saya itu.
“Hal ini kerana tiada siapa tahu kisah di sebalik pengalaman misteri itu.
“Ada yang cakap, susuk itu merupakan hantu galah atau hantu raya yang menjaga kawasan berkenaan.
“Sejak itu, saya tidak berani buat rondaan seorang diri selepas pukul 12 tengah malam,” katanya.














