fbpx

Anggota TLDM maut dilanggar kereta terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Honda Accord mangsa terbalik selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas berdekatan Plaza Pelangi, Johor Bahru semalam.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut, manakala dua lagi mangsa cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Harimau Tarum berdekatan Plaza Pelangi di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Rizal Buseri, 31, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, yang menaiki dua buah kenderaan lain cedera ringan.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Honda Accord dikatakan baru sahaja menghantar bapa mertuanya untuk menghadiri mesyuarat agung di sebuah hotel berdekatan lokasi berkenaan.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd. Rahman, pihak­nya menerima panggilan kemalangan melibatkan Honda Accord, Perodua Myvi dan Proton Saga berhampiran simpang empat di Plaza Pelangi.

Gambar kenangan mangsa bersama isteri dan tiga anaknya.

Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dengan sembilan anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati Honda Accord dipandu si mati dalam kea­daan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa dikeluarkan dalam masa dua minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum dibawa ke hosital.

Difahamkan, kenderaan mang­sa dilanggar sebuah kereta lain yang terbabas.

Sementara itu, kakak ipar mangsa dikenali sebagai Farhana Amir berkata, Mohd. Rizal baru menyambut ulang tahun kelahiran anak sulungnya yang berusia lima tahun malam kelmarin.

“Sejak semalam (kelmarin) dia kerap berdiam diri. Malam tadi, dia menyambut hari lahir anak sulungnya.

“Dia (mangsa) ada tiga anak berusia lima, dua tahun dan lapan bulan,” katanya.

Jenazah mangsa diuruskan mengikut istiadat ketenteraan sebelum dikebumikan di Simpang Renggam semalam.

Jenazah Mohd. Rizal  yang bertugas di pangkalan TLDM KD Sultan Ismail, Pengerang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara, Kulai selepas solat Asar mengikut istiadat ketenteraan.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI