fbpx

Dua Inspektor didakwa terima suapan RM3,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM kira-kira pukul 9 pagi.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Dua pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM3,500 sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan bagi seorang suspek yang disiasat atas kesalahan menipu, lima tahun lalu.

Tertuduh pertama, Mohd. Ramdzan A. Sukor, 33, dan tertuduh kedua Chang Jia Chee, 31, yang masih bertugas sebagai Inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang ketika itu sedang bertugas didakwa secara bersama menerima suapan RM3,500 daripada Tan Yee Choy suspek bagi kes yang sedang disiasat oleh mereka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu pada 3 Ogos 2015, kira-kira pukul 5.30 petang di Lif Tingkat 1, Kompleks Terminal One Plaza Seremban di sini.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan Mohd. Ramdzan dan Jia Chee dituduh di lokasi dan tarikh yang sama menerima suapan RM3,500 daripada suspek tersebut sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, tertuduh pertama yang memakai baju kameja berwarna biru dan tertuduh kedua yang memakai baju berwarna putih tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM kira-kira pukul 9 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat dan tidak menggangu saksi yang terlibat.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd. Ramdzan, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya masih bertugas dan mempunyai isteri yang merupakan suri rumah dan empat orang anak yang masih kecil.

Peguam yang mewakili tertuduh kedua Jia Chee, P. Purshotaman juga memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menyara ibu bapa yang sudah tua dan mempunyai isteri yang sudah tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin kepada kedua-dua tertuduh dan perlu mematuhi syarat tambahan yang dikemukan , jika tidak jaminan ditarik balik.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 11 November depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI