Mohd. Shah Nizam Abdul Aziz, 35, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan tiga tahun lalu.

Bekas Setiausaha MDS sekali lagi didakwa minta rasuah lebih RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Bekas Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM6,170.20 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Shah Nizam Abdul Aziz, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut semua pertuduhan, Mohd. Shah Nizam didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan iaitu Setiausaha MDS untuk mendapatkan suapan apabila melantik syarikat adik ipar dan isterinya.

Pelantikan itu dibuat untuk membekalkan sabun, peluntur, bingkai gambar dan saguhati atau hadiah cabutan bertuah bagi Rumah Rehat MDS dengan harga berjumlah RM6,170.20 melalui nombor baucar bayaran kerajaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat MDS antara 25 Julai 2017 hingga 2 April 2018.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Mohd. Syairusrohan Mohd. Sehan.

Nurul Wahida mencadangkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke SPRM setiap bulan.

Amir Khusyairi dalam rayuan kepada anak guamnya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berkenaan dengan alasan tertuduh kini menyara isteri dan tiga anak selain menjaga kedua-dua ibu bapa yang sudah tua selain mempunyai penyakit.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 10 September lalu, Mohd. Shah Nizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM1,560 tiga tahun lalu dan dia dikenakan wang jaminan RM15,000 untuk kedua-dua pertuduhan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN