fbpx
ALFIE ZUMI

Berkarya bukan untuk popular – Alfie Zumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN penyanyi tinggi lampai dan berkulit putih itu dalam arena industri seni suara baru setahun jagung. Namanya Alfie Zumi dan dia mungkin masih terlalu asing untuk berdiri sebaris dengan nama penyanyi lelaki lain di Malaysia.

Niat dan kesungguhan lelaki berusia 26 tahun itu untuk berkecimpung dalam industry muzik bukan untuk meraih populariti. Kedengaran mungkin agak klise, namun tegas Alfie, dia cuma ingin berkongsi bakat dan minat terhadap muzik.

BERMULA sebagai penari, Alfie Zumi kini melangkah masuk ke dalam industri sebagai penyanyi.
– FARIZWAN HASBULLAH

Keluar dengan single, Sudah Ditentu hasil karya sendiri, Alfie punya cerita menarik di sebalik penghasilan lagu tersebut.

Menurut jejaka kelahiran Pulau Pinang itu, lagu Sudah Ditentu dihasilkan dalam masa satu hari, termasuk selesai menjalani proses rakaman di studio.

“Saya hasilkan lagu ini pada hari pertama Aidilfitri, Jun lalu.

“Sambutan hari raya tahun ini memang hambar disebabkan pandemik Covid-19 dan timbul ilham untuk menghasilkan lagu,” ujar bekas penuntut Management & Science University (MSU) itu.

Jelas Alfie lagi, pada masa sama dia turut berdepan dengan masalah peribadi melibatkan keluarga dan percintaan.

Sudah Ditentu bercerita tentang cita-cita dan impian yang tinggi, namun terhalang dek kata-kata negatif masyarakat di sekeliling.

“Cuma jangan salah faham, saya hasilkan lagu ini tiada kena mengena langsung dengan kehidupan peribadi.

“Kisah dan lirik lagu ini lebih menceritakan tentang kehidupan untuk meneruskan cita-cita walaupun banyak halangan,” katanya.

Berbicara lebih lanjut, selain bergelar penyanyi, Alfie memberitahu kerjaya asalnya merupakan seorang penari dan koreografer.

ALFIE mempertaruhkan single berjudul Sudah Ditentu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Namun selepas menyertai sebuah program berjudul Rap Star Era anjuran stesen radio Era dan berjaya melangkah ke peringkat akhir, rezekinya dalam industri menampakkan sisi lain.

Jika sebelum ini, Alfie hanya berkongsi lagu-lagunya dalam akaun Instagram, kini karyanya boleh didengari secara digital.

Harapannya dalam industri tidaklah begitu menggunung. Dia cuba berharap diberi peluang dan diterima untuk berkongsikan karya yang dihasilkan sendiri.

“Saya telah menghasilkan sekitar 10 buah lagu.

“Bila saya mendengar lagu sendiri dan rasa yakin, saya berharap pendengar pun turut merasakan perkara sama,” katanya.

Menjadikan penyanyi rap, Alyph daripada kumpulan Sleeq dan juga The Kid Laroi sebagai sumber inspirasi, penyanyi ini meletakkan harapan untuk bekerjasama dengan beberapa nama lain seperti Sonaone dan juga Yonnie Boy suatu hari nanti.

Mempertaruhkan gabungan genre R&B dan rap, Alfie tidak sabar menanti buah tangan seterusnya yang bakal dilancarkan pada 29 Oktober ini.

BERITA BERKAITAN