AWAL tahun lalu, tuah ternyata menyebelahi penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail, apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam program realiti popular, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Kemenangan tersebut secara tidak langsung melonjakkan namanya dan mula memikat hati para peminat di Malaysia.
Bagi yang belum mengenali latar belakangnya, Iskandar atau lebih mesra disapa sebagai Eiss, mula menceburkan diri secara serius dalam bidang nyanyian sejak 2001 selepas menyertai sebuah program realiti televisyen di Kota Singa.
Bakat seni yang mengalir dalam diri diwarisi daripada bapanya, Allahyarham R. Ismail, penyanyi legenda era 1950-an yang terkenal dengan lagu Gurindam.
Melihat perjalanan Eiss, status sebagai anak kepada penyanyi terkenal langsung tidak menjamin perjalanan mudah buat dirinya.
Pelbagai liku terpaksa dilalui Iskandar bagi mengukuhkan nama dalam industri, termasuklah momen di mana bakatnya pernah ditolak oleh maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir suatu ketika dahulu.
Dedahnya, memori tersebut menjadi titik tolak paling berharga, bahkan pembakar semangat untuk terus bangkit.
“Saya tak segan nak bercakap ada satu fasa saya lalui yang membuatkan saya bangkit lebih kuat. Bila di Singapura, saya buat persembahan dapat peluang berjumpa dengan M.Nasir, sekitar 2007 atau 2008, saya tak ingat.
“Arwah bapa saya masih ada ketika itu, dia bersama seorang penyanyi legenda iaitu Aziz Mahmad. Dia kenal dengan M. Nasir dan dia pernah cakap kepada bapa saya ‘bawa anak kau jumpa aku di Kuala Lumpur’.
“Saya pun pergi berjumpa M. Nasir di Luncai Emas Studio. Bila sampai sana, saya bawa mini album yang dihasilkan pada 2004.
“Bila dia dengar, dia cakap suara saya biasa-biasa. Jujur saya tergamam, ketika itu saya baru lagi dalam industri, memang ‘down’ juga walaupun berkobar-kobar nak jadi penyanyi,” ceritanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 47 tahun ini bersyukur kerana memiliki seorang bapa yang sentiasa berada di sisi untuk menitipkan kata-kata positif bagi menaikkan semula moralnya.
“Tetapi arwah bapa saya memberikan kata-kata semangat untuk teruskan juga. Ayah kata mungkin rezeki bukan di sini.
“Daripada situlah saya bangkit semula, teruskan perjalanan sebagai seorang penyanyi,” ujarnya.
Buah tangan baharu
Kini, Iskandar tidak mahu membuang masa dan dalam perancangan untuk meluncurkan single terbaharunya yang berjudul Mahal.
Lebih menarik, lagu tersebut mendapat sentuhan magis daripada seorang komposer popular dari Seberang.
“Tak lama lagi saya memang nak rakam lagu single yang terbaharu. Insya-Allah tak ada apa, saya ke Jakarta sebab komposer dari sana.
“Bukan tak boleh dedahkan nama (komposer), saya tak boleh beritahu banyak. Dia pernah buat lagu untuk Judika dan juga beberapa artis popular Malaysia.
“Lagu saya ke arah galau. Jadi untuk peminat generasi muda dan saya rasa, saya tak pernah buat lagu sebegitu,” jelasnya.
Dalam masa sama, Iskandar tidak menafikan wujud sedikit kerisauan dalam dirinya untuk bersaing dengan lambakan penyanyi generasi muda yang kini mendominasi pasaran muzik arus perdana.
“Susah memang susah kerana bagi saya di Malaysia ramai bakat muda yang bagus. Saya tengok penyanyi Gen Z memang kreatif.
“Mereka juga ada pengikut yang begitu ramai tetapi saya percaya kalau kita tak ikut umur, bekerja keras dan kekal relevan mudah-mudahan dapat mengekalkan status kita.
“Susah nak pikat jiwa orang muda tetapi apa yang saya perasan kandungan media sosial sangat penting,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE
CAPTION
SEWAKTU awal penglibatan dalam dunia nyanyian, Iskandar pernah mencuba nasib mengetuk pintu Luncai Emas, namun gagal. Terduduk, penolakan M. Nasir bagaimanapun tidak mematikan semangatnya untuk terus menyanyi. – ISKANDAR ISHAK














