PETALING JAYA – Meskipun menyandang gelaran naib juara pada awal pembabitan dalam dunia seni, penyanyi Iskandar Ismail membuktikan bahawa kedudukan dalam sesebuah pertandingan bukanlah penentu mutlak bagi mengukur kejayaan seseorang.
Iskandar, 47, menegaskan perkara lebih penting dalam menjamin kelangsungan kerjaya adalah keupayaan artis untuk mengekalkan kestabilan.
“Bila saya bermula menyanyi secara profesional di Singapura, saya memasuki pertandingan realiti televisyen di sana pada 2001.
“Saya hanya dapat nombor dua. Jadi, perjalanan saya setiap tahun ada sahaja tawaran kerja.
“Tak semestinya tidak dapat nombor satu, tak pergi jauh. Kestabilan itu paling penting sekali.
“Kestabilan untuk menjadi seorang artis releven setiap tahun, kita akan membuat sesuatu yang baru,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Mengakui sukar mengekalkan nama dalam industri, anak jati Singapura itu berharap mampu buat yang terbaik supaya lebih dikenali di Malaysia terutama selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) tahun lalu.
“Untuk kekal dalam industri memang susah. Alhamdulillah di Singapura saya masih kekal dan baru mencuba nasib di Malaysia.
“Moga-moga saya bekerja keras lagi untuk ramai orang mengenali saya dan kekal relevan walaupun GV akan datang lebih ramai lagi yang masuk,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kerisauan kurang menyerlah selepas bergelar juara, Iskandar menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan untuk merancang strategi lebih agresif.
“Itu semua rezeki masing-masing tetapi yang harus bekerja lebih keras adalah saya sendiri.
“Saya memang percaya dengan pihak pengurusan iaitu Mind Over dan pengurus saya untuk menjaga dan merancang semua perjalanan karier saya.
“Setiap tiga bulan saya akan buat lagu baru atau lakukan kelainan untuk kekal relevan dalam industri,” tuturnya.
Sebelum ini, Iskandar bergelar juara pada GV12 sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah trofi.
Kemenangan tersebut menjadikan Iskandar sebagai penyanyi ketiga dari Singapura bergelar juara selepas Aliff Aziz memenangi GV8 dan Hady Mira menjuarau GV6 bersama Naqiu. – KOSMO! ONLINE














