fbpx

Kerajaan gagal gantung perlaksaaan perintah lucut hak Jakel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk menggantung perlaksanaan perintah bagi melucut hak wang berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada syarikat pemborong tekstil Jakel Trading.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas meneliti hujah kedua-dua belah pihak yang telah diserahkan secara bertulis sebelum ini.

Dengan keputusan itu kerajaan selaku pemohon perlu mengembalikan semula kesemua wang itu kepada Jakel Trading selaku responden dalam kes ini.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan pemohon selain permohonan adalah tidak menepati maksud yang diperuntukkan dalam Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah.

“Dalam hujah, pemohon memohon perintah penggantungan pelaksanaan dibenarkan untuk kekalkan status quo kerana kesan keputusan mahkamah ini akan mengakibatkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpaksa mengembalikan wang yang disita kepada responden.

“Malangnya seksyen 311 memperuntukkan secara khusus bagi permohonan ditujukan terhadap kepada apa-apa penghakiman, perintah sabitan atau hukuman dan bukannya ditujukan kepada kesan daripada keputusan mahkamah, ” kata Ahmad Shahrir.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala Jakel Trading diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman.

Pada Jun tahun lalu, SPRM memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI