fbpx

80 graduan sulung Kursus Perawatan Islam Darussyifa’- Darul Quran, Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pelajar Kursus Perawatan Islam Darussyifa’- Darul Quran, Jakim yang bakal menjadi graduan sulung kursus itu dalam Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020, Sabtu ini.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Seramai 80 graduan sulung Kursus Perawatan Islam Darussyifa’- Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal diraikan pada majlis pengijazahan, Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya berkata, graduan berkenaan akan diraikan pada Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020 dan Majlis Penganugerahan Darul Quran di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata, kursus berkenaan adalah program kerjasama antara Darul Quran, Jakim dan Persatuan Perubatan, Pengubatan & Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’).

“Kursus Perawatan Islam Darussyifa’-Darul Quran dicadangkan pelaksanaannya supaya ia menjadi nilai tambah kepada pelajar Darul Quran dengan mengaplikasikan ayat-ayat al-Quran yang sudah sedia dihafaz untuk tujuan pengubatan Islam melalui ruqyah syariyyah.

“Kerjasama ini juga penting bagi melahirkan lebih ramai pengamal pengubatan Islam yang sahih.

“Selain itu, ia secara tidak langsung dapat membasmi ‘tok bomoh’ atau ‘ustaz palsu’ yang suka mengambil kesempatan terhadap masyarakat dengan mengaut keuntungan atas nama pengubatan Islam,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, setiap pelajar yang mengikuti kursus berkenaan perlu memasuki kelas pengajian selama 90 jam, mengikuti tasmi’ Ruqyah Asas Pengubatan Islam dan mempelajari cara rawatan pesakit dengan menggunakan herba.

Paimuzi berkata, majlis akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada majlis sama, katanya, tiga program lain akan turut berlangsung iaitu penyampaian Anugerah Kecemerlangan Darul Quran dan penyampaian Sijil ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 bagi Sistem Pengurusan Kualiti serta Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah oleh SIRIM.

Selain itu, Paimuzi berkata, pihaknya juga akan melancarkan buku terbitan Darul Quran yang bertajuk: Sejarah & Perkembangan Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Malaysia: Edisi 2. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI