fbpx
Nancy.

Hari Gawai lambang perpaduan rakyat Sarawak – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sambutan Hari Gawai bukan sahaja membawa kegembiraan kepada masyarakat yang meraikannya, malah menjadi simbol perpaduan dan persefahaman yang sekian lama menyatukan rakyat di Sarawak.

Menteri Pembagunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kepelbagaian budaya yang dimiliki rakyat negeri itu bukan sekadar identiti, sebaliknya merupakan kekuatan yang menjadikan Sarawak unik dan istimewa.

Menurutnya, khazanah tersebut perlu dipelihara agar terus menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan negeri.

“Semangat ‘Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua’ terus menjadi pegangan dalam membina masyarakat yang aman, saling menghormati dan sentiasa hidup dalam suasana muafakat.

“Nilai-nilai inilah yang telah membentuk jati diri rakyat Sarawak sejak dahulu hingga kini,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Gawai, hari ini.

Nancy berkata, perayaan itu turut mengingatkan masyarakat tentang pentingnya menghargai warisan nenek moyang, memperkukuhkan hubungan kekeluargaan serta mensyukuri segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan.

Katanya, di sebalik kemeriahan sambutan Hari Gawai, tersimpan semangat kebersamaan, gotong-royong dan rasa hormat yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat.

“Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat yang meraikannya. Semoga sambutan pada tahun ini membawa kegembiraan, kesejahteraan, kesihatan yang baik serta rezeki yang berpanjangan buat kita sekeluarga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN