SEPERTI mana-mana aktor bujang, tampan, bertubuh kekar dan penuh karakter sewaktu beraksi dalam apa jua naskhah, filem mahupun drama televisyen, nama Zul Ariffin juga tidak terkecuali daripada dihambat kisah sensasi.
Melihat susuk tubuhnya sahaja, seperti ada jawapan yang harus ditagih.
Kisah peribadi lelaki berusia 34 tahun pernah meledak apabila dikhabarkan menjalin hubungan dengan seorang wanita warga Ukraine sekitar setahun lalu. Sehingga kini, identiti dan status mereka masih menjadi tanda tanya.
Rentetan daripada cerita panas tersebut, Zul lebih selesa mengambil pendekatan berdiam dan menutup mulut daripada terlalu terbuka.
Tidak mahu menjadi pelakon yang galak berkongsi hal peribadi, Zul mengakui tiada apa yang perlu dihebahkan kepada umum selagi belum ada hubungan dengan mana-mana wanita menemui garis kepastiaan.

Tunda kahwin
Beberapa bulan lalu, pelakon yang pernah popular dengan drama rantaian Setelah Ku Dimiliki itu tiba-tiba memaklumkan kepada umum tentang tarikh perkahwinannya terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19.
Tanpa mendedahkan identiti calon isteri, Zul memberitahu bahawa perkara tersebut terpaksa diputuskan namun atas persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Teraju utama drama Bidadari Kiriman Tuhan juga tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga ketika ini.
Bahkan akuinya, dia sebenarnya tiada keinginan untuk memiliki seorang wanita bergelar isteri walaupun ketika terperuk di dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan sejak Mac lalu.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana perkahwinan tersebut ditunda dan saya belum beristeri sehingga kini.
“Biarpun saya lihat ramai pasangan mendirikan rumah tangga dalam tempoh itu kerana dapat menjimatkan banyak kos, namun situasi tersebut tidak sedikit pun menimbulkan keinginan untuk saya berkahwin,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui sewaktu pelancaran filem Juang di ibu kota baru-baru ini.
Tambahnya: “Saya memang sangat bersyukur masih bujang, sebab sepanjang PKP saya banyak dengar masalah dan keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku.”
Bercerita lanjut mengenai rancangan mendirikan ‘masjid’, Zul berkata, perkahwinan merupakan satu bentuk persefahaman dalam sesebuah hubungan dan tidak perlu dilangsungkan bersandarkan faktor seperti bajet murah atau sebagainya.
“Perkahwinan yang hendak dimeterai tidak perlu tunggu musim Covid-19. Kalau sudah termaktub jodoh sudah sampai, perkara itu akan berlaku dengan semula jadi tanpa tekanan daripada banyak faktor.
“Saya tiada masalah hidup membujang kerana boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya. Apatah lagi, saya sangat sukakan kerja saya sebagai seorang pelakon,” ujarnya.

Toksik
Jejaka yang pernah dikaitkan dengan Ayda Jebat dan penerbit sebuah syarikat produksi itu turut mengakui, dirinya bukanlah seorang yang suka mengongkong dan tidak suka dikongkong mana-mana wanita yang menjalinkan hubungan istimewa dengannya.
“Bagi saya, tidak perlu berbangga dengan sebuah perhubungan yang tidak pasti.
“Selagi belum berkahwin, selagi itu tiada kepastian dalam percintaan.
“Lagipun, saya tak suka percintaan mengganggu kerjaya. Selagi belum berkahwin.
“Saya tidak akan menghalang wanita yang berkawan dengan saya keluar dengan kawan-kawan dia.
“Saya mahukan teman wanita bersikap terbuka kerana saya tak suka dikawal atau ditegur dengan siapa saya ingin berjumpa. Saya penat dengan hubungan toksik,” katanya.
Tambahnya: “Saya tidak mahu pisang berbuah berkali-kali. Saya tidak akan teragak-agak menamatkan sesebuah perhubungan jika kami tiada persefahaman. Siapa wanita yang bakal dipilih sebagai calon isteri, dia insan yang memang memahami sikap saya.”
Menurut Zul, dia perlukan pasangan berfikiran sebegitu demi keharmonian dalam perhubungan, tambahan pula kerjayanya yang menuntut banyak komitmen di luar rumah.
Juang
Beralih daripada cerita peribadi, Zul berkongsi semangat dan emosi terujanya mengenai pemilihan sebagai salah seorang pelakon utama filem Juang.
Juang yang bakal memulakan pengambaran dalam masa terdekat turut dibarisi beberapa nama besar seperti Zizan Razak dan Jack Lim.
Anak kelahiran Taiping, Perak itu memberitahu, dia menerima tawaran tersebut kerana merasakan Juang bakal menjadi sebuah filem epik yang memaparkan jalan cerita sangat dekat diri dan suasana semasa.

“Filem ini mengenai perjuangan petugas barisan hadapan yang menyerahkan jiwa dan raga bagi memerangi penularan pandemik Covid-19 yang masih belum menemui penamatnya.
“Saya rasakan watak dipegang sangat dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia. Setakat ini saya tidak dapat mengulas lanjut kerana semuanya masih atas kertas dan belum memulakan pengambaran,” tuturnya.
Ujarnya, dia juga sangat teruja untuk berlakon bawah enam orang pengarah tersohor negara iaitu Aziz M Osman, Yusry Abd. Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima.
“Saya tak pernah lagi berlakon dengan enam orang pengarah sekali gus. Jadi, saya pasti hasilnya akan sangat hebat di layar perak,” ujarnya.
















