fbpx
Salah satu bot nelayan yang ditahan Jabatan Perikanan Perak di perairan Bagan Datuk semalam.

Enam warga Myanmar ditahan, 200 kg ikan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Jabatan Perikanan Perak menahan dua bot nelayan tempatan dan merampas kira-kira 200 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dalam operasi di Pulau Lalang, perairan Bagan Datuk dekat sini pagi semalam.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe, berkata tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa yang melakukan rondaan di perairan berkenaan.

Katanya,  bot pertama ditahan kira-kira pukul 8.46 pagi pada kedudukan 0.7 batu nautika dari Pulau Lalang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit kita telah menahan tiga lelaki Myanmar serta merampas kira-kira 100 kg ikan pelbagai jenis.

“Tangkapan kedua dilakukan tidak jauh dari bot pertama iaitu kira-kira pukul 9 pagi pada jarak kira-kira 1.1 batu nautika dari Pulau Lalang. Pemeriksaan lanjut telah membawa kepada penahan tiga lelaki dan rampasan ikan pelbagai jenis seberat 100 kg,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua bot itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan tiga nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Selain itu katanya, bot berkenaan juga telah menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm) serta pemiliknya tidak mengusahakan sendiri.

“Kesemua enam warganegara Myanmar berusia antara 40 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai awak-awak di dua bot nelayan pukat tunda telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai sitaan dua bot dan hasil tangkapan 200 kg ikan tersebut dianggarkan kira-kira RM1 juta,”kata Mansor.-K! ONLINE

POPULAR