JASIN – Kira-kira 50 nelayan di Jeti Anjung Batu, Seri Minyak, di sini mendakwa terpaksa berdepan masalah pencemaran dipercayai berpunca daripada kumbahan sebuah sekolah berhampiran yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.
Pengerusi Nelayan Anjung Batu, Mustazam Bakar, 54, berkata, pelbagai aduan telah dikemukakan kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta wakil rakyat kawasan itu, namun masalah berkenaan masih berulang sehingga kini.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih ketara ketika air surut apabila air di kawasan muara bertukar kehitaman, selain mengeluarkan bau busuk yang kuat.
“Bila air pasang, masalah ini kurang nampak tetapi apabila air surut, air menjadi hitam dan berbau sangat kuat sehingga mengganggu aktiviti nelayan.
“Kami percaya pencemaran ini berpunca daripada sistem kumbahan sebuah sekolah yang terletak kira-kira 300 meter dari jeti nelayan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Tambah beliau, JPS sebelum ini membantu dengan melepaskan aliran air ke laut melalui pembukaan pintu air, namun langkah tersebut hanya bersifat sementara dan menyebabkan kesan pencemaran berpindah ke kawasan muara.
Katanya, pencemaran berterusan itu turut menjejaskan hidupan laut seperti kepah dan kupang yang menjadi sumber pendapatan sebahagian nelayan di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














