fbpx
WAN ARASH AZZAZI ketika menerima watikah perlantikan sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM.

Jiwa kepimpinan Wan Arash Azzazi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEBAIK melangkah ke menara gading, saya mencabar diri dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan pihak universiti mahupun luar kampus.

“Antaranya menjadi Ahli Senat Universiti, sukarelawan untuk sukan tenis bagi paralimpik, selain aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan.

“Malah, saya juga pernah menjadi pengarah untuk beberapa program seperti Universiti Community Engagement,” kata Wan Arash Azzazi Johari, 23, ketika membuka bicara bersama iGen baru-baru ini.

Menurut pelajar jurusan Komunikasi Massa (Kewartawanan) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, dia begitu meminati dunia kepimpinan sejak kecil apabila sering melihat ucapan Perdana Menteri dan ahli politik lain menerusi berita yang dipaparkan di televisyen.

Jelas anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan itu, sokongan dan galakan daripada keluarga, adik-beradik dan rakan-rakan banyak membantu membentuk dirinya hingga kini.

Bercerita dan berkongsi lanjut berkenaan pembabitan aktifnya, beliau turut mengakui pernah mendapat tempat 10 teratas bagi University Motivator Competition.

“Pada masa sama, saya turut pernah mengikuti kursus yang disediakan media Al-Jazeera sekali gus dilantik menjadi duta hasil kolaborasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

“Tidak terkecuali berpeluang menjadi Liason Officer kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam program Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera dua tahun lalu.

“Begitu juga pengalaman sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang ahli politik satu hari nanti.

SESI penyerahan surat lantikan ahli senat Universiti oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Azizan Abdullah.

Melengkapkan ilmu kepimpinan, Wan Arash Azzazi dan rakan sejawatnya juga pernah melakukan kunjungan hormat di beberapa kementerian bagi mengukuhkan hubungan mahasiswa, perwakilan dan kementerian.

Ditanya mengenai cara menguruskan masa antara pelajaran dan aktiviti luar, Wan Arash Azzazi menyatakan, sedikit pun tidak mengabaikan pendidikan dan menjadi batu penghalang buatnya.

“Melihat kepada situasi ini, saya tidak seharusnya menganggap ia sebagai satu bebanan atau halangan untuk mencapai kejayaan sama ada pelajaran mahupun pelbagai program yang disertai.

“Pada saya, inilah waktu terbaik untuk menguji kemampuan diri bagi mengimbangi diri dalam pelbagai aspek seperti pelajaran, aktiviti, hubungan kekeluargaan dan sosial,” tuturya.

Ditebak mengenai siapakah idola dan sumber inspirasinya dalam bidang kepimpinan dan belia, dia menjadikan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pilihannya.

Baginya, karakter idolanya itu jelas terserlah ketika negara berdepan situasi MH370 apabila Hishamuddin dilihat mengendalikan kes itu dengan tenang dan profesional serta berkarisma.

“Syed Saddiq pula dilihat banyak memperjuangkan suara mahasiswa serta anak muda yang menjadi tunjang kepada negara, selain dekat dengan golongan muda,” katanya yang turut mengidolakan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Obama.

Berkenaan perancangan masa depan, dia kini mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan ia antara inisiatif dalam membantu mahasiswa lain.

“Saya kini sedang menguruskan kedai gunting rambut yang dinamakan Habibi Barbershop di Bandar Baru Rawang dan juga berhasrat untuk membuka lebih banyak cabang perniagaan lain pada masa hadapan.

“Antara harapan saya adalah ingin membantu belia yang terjejas akibat masalah kewangan rentetan Covid-19 dengan mewujudkan seberapa banyak mungkin peluang pekerjaan kelak,” ujarnya menutup bicara.