MUSIM cuti sekolah biasanya menjadi masa paling sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti pergi bercuti, pulang ke kampung atau memenuhi jemputan majlis, namun dalam keseronokan itu, kadangkala perkara kecil pun boleh jadi punca ‘panas’ dalam kereta, termasuk lah apabila tersilap jalan kerana salah baca Waze.
Ramai pemandu sudah tidak bergantung sangat pada papan tanda jalan. Mereka lebih selesa buka Waze atau Google Maps.
Kad jemputan majlis pun makin ringkas, scan sahaja QR, terus keluar lokasi dalam aplikasi navigasi.
Persoalannya, sejauh mana manusia hari ini masih mampu bergerak tanpa membuka aplikasi digital setiap masa?
Menurut Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli, satu tinjauan ringkas berkaitan keupayaan memori dan penggunaan teknologi mendapati, kira-kira 76 peratus daripada lebih 1,000 responden tidak mengingati nombor telefon ahli keluarga rapat mereka sendiri.
Katanya, fenomena itu dikenali sebagai cognitive offloading iaitu keadaan apabila otak menyerahkan sebahagian fungsi mengingat kepada peranti luar seperti telefon pintar dan sistem digital.
“Ini cerminan bagaimana otak manusia secara strukturnya sedang berubah dalam era digital hari ini. Telefon menyimpan nombor, Waze menunjukkan jalan, AI menjawab soalan. Teknologi sudah menjadi sebahagian daripada sistem berfikir manusia,” katanya.
Menurutnya, dari sudut neurologi, penggunaan teknologi yang berlebihan boleh mempengaruhi cara otak berfungsi, khususnya bahagian hipokampus yang terlibat dalam pembentukan memori dan navigasi ruang.
“Kajian dari McGill University pada tahun 2020 mendapati individu yang terlalu bergantung kepada GPS menunjukkan penurunan keupayaan memori spatial berbanding mereka yang jarang menggunakannya.
“Kajian lain juga menunjukkan pemandu teksi di bandar besar mempunyai hipokampus yang lebih aktif kerana perlu menghafal ribuan laluan setiap hari.
“Ini membawa kepada satu penjelasan mudah, apa yang sering digunakan akan menjadi lebih kuat, manakala apa yang jarang digunakan boleh menjadi semakin lemah,” katanya.
Ujarnya, kesan penggunaan teknologi bukan sekadar kepada kemampuan mengingati atau mencari jalan, tetapi juga kepada cara manusia menghayati pengalaman harian.
“Ramai orang kini terlalu bergantung kepada peranti untuk membimbing setiap langkah. Akibatnya, otak mungkin tidak membina cukup memory anchor untuk mengikat pengalaman itu dalam ingatan jangka panjang.
“Sebab itu ada yang merasakan masa berlalu terlalu cepat, seminggu terasa sekejap, sebulan menjadi kabur dan setahun berlalu tanpa disedari,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, teknologi bukanlah musuh, sebaliknya alat memudahkan kehidupan manusia.
Menurutnya, seperti tubuh yang memerlukan senaman untuk kekal sihat, otak juga perlu terus dilatih untuk berfikir dan mengingat.
“Menghafal nombor penting, mencuba navigasi tanpa GPS sesekali atau mengingat semula pengalaman tanpa terus bergantung kepada telefon mungkin nampak kecil, tetapi memberi kesan kepada ketajaman minda.
“Teknologi sepatutnya membantu manusia menjadi lebih baik, bukan menggantikan keupayaan manusia untuk berfikir, mengingat dan memahami dunia di sekelilingnya,” katanya.














