fbpx
Berbeza dengan kapal selam nuklear AS dan Britain yang guna highly enriched uranium (HEU), Korea Selatan memilih LEU bagi memenuhi komitmen terhadap perjanjian kawalan nuklear antarabangsa serta mengurangkan kebimbangan proliferasi senjata nuklear.

Kapal selam nuklear Korea Selatan tak sama negara lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAHA Korea Selatan membangunkan kapal selam berkuasa nuklear pertama negara itu menerusi projek dikenali sebagai Chang Bogo N kini menjadi salah satu perkembangan teknologi pertahanan paling mendapat perhatian di dunia.

Projek tersebut diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada tahun ini dengan sasaran melancarkan kapal selam pertama menjelang pertengahan tahun 2030-an.

Menurut kenyataan oleh Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back kepada media antarabangsa, pencapaian itu menandakan Seoul sudah memasuki kelompok kecil negara yang memiliki teknologi kapal selam nuklear.
Antara negara yang memiliki teknologi pertahanan itu adalah Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Britain, Perancis dan India.

“Apa yang menjadikan projek ini luar biasa, Korea Selatan mahu membina kapal selam tersebut menggunakan kepakaran domestik sepenuhnya. Ini termasuk sistem reaktor nuklear, integrasi persenjataan, teknologi sonar dan reka bentuk stealth.

“Program itu juga dilihat sebagai simbol kemajuan industri pertahanan negara berkenaan yang sebelum ini sudah terkenal dalam pembinaan kapal perang moden dan kapal selam diesel-elektrik kelas KSS-III,” katanya.

Tambah Gyu-back, teknologi utama yang menjadi teras Chang Bogo N adalah penggunaan reaktor nuklear berasaskan low-enriched uranium (LEU) atau uranium diperkaya rendah.

Berbeza dengan kapal selam nuklear AS dan Britain yang lazimnya menggunakan highly enriched uranium (HEU), Korea Selatan memilih LEU bagi memenuhi komitmen terhadap perjanjian kawalan nuklear antarabangsa serta mengurangkan kebimbangan proliferasi senjata nuklear.

Penggunaan LEU juga memperlihatkan pendekatan teknologi yang lebih unik.

Walaupun bahan api jenis itu memerlukan pengurusan dan penyelenggaraan lebih kerap berbanding HEU, namun dianggap lebih selamat dari sudut diplomatik dan pemantauan antarabangsa.

Seoul turut menegaskan, projek itu tidak melibatkan pembangunan senjata nuklear, sebaliknya hanya tertumpu kepada sistem pendorongan nuklear untuk meningkatkan keupayaan operasi di bawah laut.

Dari sudut teknologi operasi, kapal selam nuklear mempunyai kelebihan besar berbanding kapal selam diesel-elektrik tradisional.

Kapal selam konvensional perlu timbul ke permukaan atau menggunakan snorkel untuk mengecas bateri selepas beberapa hari berada di bawah air.

Sebaliknya, kapal selam nuklear mampu kekal tenggelam selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan tanpa perlu muncul ke permukaan kerana reaktornya menghasilkan tenaga secara berterusan.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung memaklumkan, kelebihan itu sangat penting dalam konteks keselamatan negara tersebut yang berdepan ancaman peluru berpandu dan kapal selam Korea Utara.

“Seoul percaya kapal selam nuklear mampu menjalankan misi pemantauan jarak jauh secara senyap, selain bertindak balas lebih pantas terhadap ancaman maritim di Laut Jepun dan Laut China Timur.

“Teknologi ini juga membolehkan kapal selam bergerak pada kelajuan tinggi di bawah air tanpa kehilangan tenaga secara drastik,” ujarnya.

Chang Bogo N dijangka menggunakan teknologi stealth generasi baharu yang mengurangkan bunyi mekanikal dan jejak akustik kapal selam.

Dalam peperangan moden, keupayaan untuk kekal senyap di bawah laut amat kritikal kerana sonar musuh mampu mengesan getaran kecil daripada enjin, kipas atau sistem pam dalaman.

Korea Selatan dijangka memanfaatkan pengalaman mereka dalam pembangunan kapal selam Dosan Ahn Chang-ho yang sebelum ini terkenal dengan teknologi pengurangan bunyi dan sistem pelancaran peluru berpandu menegak.

Selain teknologi reaktor, projek ini turut memberi fokus kepada automasi digital dan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tempur kapal selam.

Sistem moden itu boleh membantu kru menganalisis ancaman sonar, laluan pelayaran dan data peperangan elektronik dengan lebih pantas berbanding sistem generasi lama.

Inovasi itu penting kerana kapal selam moden kini beroperasi dalam persekitaran peperangan digital yang sangat kompleks.

BARU-BARU ini, Seoul telah melancarkan Projek kapal selam nuklear Chang Bogo N secara rasmi.

Jika dibandingkan dengan kapal selam nuklear AS seperti kelas Virginia, Chang Bogo N mungkin lebih kecil dari segi saiz dan kapasiti persenjataan, namun dijangka mempunyai tahap automasi lebih tinggi.

Kapal selam kelas Virginia direka untuk operasi global dan membawa pelbagai peluru berpandu Tomahawk serta sistem operasi khas tentera laut AS.

Sebaliknya, fokus Korea Selatan lebih tertumpu kepada operasi serantau dan pertahanan maritim berhampiran Semenanjung Korea.

Berbanding kapal selam nuklear Russia pula, Chang Bogo N dijangka memberi penekanan lebih besar kepada teknologi senyap dan integrasi elektronik moden.

Russia terkenal dengan kapal selam bersaiz besar seperti kelas Borei dan Yasen yang mempunyai kuasa tembakan tinggi.

Namun, beberapa penganalisis antarabangsa sering mengaitkan kapal Russia dengan tahap bunyi lebih tinggi berbanding kapal Barat.

Dalam konteks Asia, projek Korea Selatan turut dilihat sebagai pesaing kepada kapal selam nuklear China yang berkembang pesat sejak sedekad lalu.

China kini memiliki kapal selam Type 093 dan Type 094 yang direka untuk operasi strategik serta membawa peluru berpandu balistik.

Walaupun China mempunyai armada lebih besar, namun Korea Selatan dipercayai mempunyai kelebihan dalam teknologi elektronik marin, pembinaan kapal moden dan integrasi sistem digital.

Menariknya, sesetengah komuniti pertahanan antarabangsa di Reddit berpendapat, Korea Selatan sebenarnya sudah mempunyai asas teknologi yang kukuh hasil pembangunan kapal selam KSS-III.

Ada yang menyifatkan Chang Bogo N sebagai evolusi daripada platform sedia ada sebelum Seoul membangunkan reka bentuk kapal selam nuklear yang lebih besar pada masa depan.

Namun begitu, projek itu juga berdepan cabaran besar. Pembinaan kapal selam nuklear memerlukan kepakaran tinggi dalam kejuruteraan reaktor marin, sistem keselamatan radiasi dan penyelenggaraan bahan api nuklear.

Kos pembinaannya juga jauh lebih mahal berbanding kapal selam diesel-elektrik biasa. Selain itu, Seoul perlu memastikan projek tersebut mematuhi peraturan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan tidak mencetuskan ketegangan geopolitik di rantau Asia Timur.

Walaupun masih berada pada peringkat awal pembangunan, namun Chang Bogo N sudah dianggap sebagai lambang kebangkitan teknologi pertahanan Korea Selatan.

Ia memperlihatkan bagaimana negara itu kini bukan sahaja menjadi kuasa besar dalam industri elektronik dan automotif, malah semakin agresif membangunkan teknologi maritim berteknologi tinggi.

Jika berjaya direalisasikan menjelang 2030-an, kapal selam itu bakal mengubah keseimbangan kuasa bawah laut di Asia dan mengukuhkan kedudukan Korea Selatan sebagai antara negara paling maju dalam teknologi pertahanan moden dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN