fbpx

247 penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard disaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua penghuni di Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak di Alor Setar selesai menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari ini.

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

ALOR SETAR – Kesemua 247 penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak di sini yang dikenakan pengawasan ketat susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Sungai telah selesai menjalani ujian saringan pada hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang memberitahu, ujian saringan secara menyeluruh terpaksa dilakukan selepas sembilan penghuni di situ disahkan positif Covid-19.

“Saringan pertama dilakukan pada 19 September lalu diikuti semalam dan hari ini yang dijalankan di pekarangan rumah pangsa tersebut.

“Keputusan saringan akan diperoleh dalam tempoh 72 jam selepas ujian dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya pada awalnya dimaklumkan terdapat lebih ramai penghuni yang perlu disaring, namun pemeriksaan mendapati ada banyak rumah di situ tidak didiami.

“Kesemua penghuni yang telah menjalani saringan diarah untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kawasan lain yang akan dikenakan ujian saringan secara menyeluruh, Mohd. Fikri berkata, pelaksanaan itu bergantung kepada jumlah kes positif dilaporkan di sesuatu kawasan.

“Jika kes positif di sesuatu kawasan itu meningkat secara mendadak, kita akan laksanakan saringan menyeluruh seperti yang berlaku di Rumah Pangsa Tongkang Yard,” jelasnya.

Tambah beliau, setakat ini hampir 20,000 penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Kota Setar telah menjalani saringan Covid-19.

Dalam pada itu, menurutnya, stok peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan petugas kesihatan mencukupi untuk kegunaan dalam tempoh tiga bulan ini.

“Kita mengalu-alukan sumbangan PPE daripada mana-mana pihak yang mahu berbuat demikian,” tambahnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI