fbpx

Beckham lonjak Guild Esports ke Bursa Saham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BECKHAM berjaya menjadikan Guild Esports sebagai syarikat e-Sukan pertama tersenarai dalam Bursa Saham London dengan nilai pelaburan £20 juta (RM107.77 juta).

SYARIKAT e-Sukan milik David Beckham iaitu Guild E­sports bakal memasuki Bursa Saham London dengan nilai pelaburan mencecah nilai £20 juta (RM107.77 juta).

Bekas kapten pasukan bola sepak England dan Manchester United itu menubuhkan pasukan Guild Esports bersama Carleton Curtis yang juga pelopor kejohanan Overwatch League dan Call of Duty League.

Curtis merupakan individu yang sangat berpengalaman di dalam dunia e-Sukan di mana beliau turut bekerjasama dengan VP Activision, Red Bull Esports dan juga FOX Sports.

Guild Esports akan menjadi syarikat e-Sukan pertama berada dalam Bursa Saham London dan akan melepaskan 40 peratus saham kepada awam terutama kepada peminat permainan video e-Sukan.

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, aktiviti permainan video meningkat 10 kali ganda berbanding biasa. Perbelanjaan bagi permainan video digital mencecah AS$10 bilion (RM43.6 bilion) pada Mac iaitu paras ter­tinggi dalam sejarah dunia.

GUILD Esports menjadi tuan rumah kepada penganjuran Rocket League yang menarik banyak penyertaan atlet dan organisasi e-Sukan di Eropah.

Syarikat Guild Esports dijangka melakukan pelaburan dengan melatih pemain e-Sukan terbaik dunia dan menempatkan pasukan dalam permainan dalam talian seperti Fortnite, CS: GO, Rocket League dan Fifa.

“Sepanjang karier saya, saya cukup beruntung dapat beraksi dengan pemain terbaik dunia dan telah melihat sendiri semangat dan dedikasi yang diperlukan untuk bermain pada tahap itu.

“Saya tahu semangat juang atlet e-Sukan kami hari ini dan Guild kami mempunyai visi untuk menetapkan standard baharu, menyokong pemain ini untuk masa depan.

“Kami komited untuk memupuk dan mendorong bakat muda melalui sistem akademi kami dan saya berharap dapat membantu pasukan Guild Esports kami berkembang pada masa akan datang,” kata Beckham.

BECKHAM komited untuk memupuk dan mendorong bakat muda melalui sistem akademi sekali gus membantu pasukan Guild Esports berkembang pada masa akan datang.

Mengikut perangkaan daripada Newzoo, pada tahun 2020 permainan video e-Sukan mempunyai jumlah penonton sebanyak 443 juta setakat ini dan akan meningkat kepada 646 juta penonton pada tahun 2023.

Saham pada mulanya akan ditawarkan kepada pelabur besar bulan depan tetapi selepas itu akan diperdagangkan secara bebas di pasaran saham dengan sesiapa sahaja boleh membelinya.

Jumlah wang yang diperoleh daripada penempatan saham awal akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan termasuk merekrut pemain baharu.

Beckham dilihat giat meluaskan perniagaannya termasuk fesyen, wangian, wiski dan kelab bola sepak di Florida yang dimilikinya.

Guild Esports akan menggunakan pengaruh global dan pengikutnya untuk menyokong pengembangan jenama dan perniagaan syarikat.

Beckham bukan pemain bola sepak yang pertama menubuhkan organisasi e-Sukan, malah pemain terkemuka dunia, Gareth Bale turut melancarkan organisasi e-Sukan, Ellevens Esports pada awal tahun ini.

Curtis pula memberi baya­ngan dan keyakinan bahawa syarikatnya itu akan menjadi pasukan terkemuka dunia dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Guild akan menjadi francais e-Sukan pertama yang bergabung dengan pasaran saham London.

“Ini akan memberi kita kredibiliti dan modal untuk meme­nuhi cita-cita kita untuk menjadi salah satu daripada 10 francais e-Sukan terulung di dunia dalam masa tiga tahun lagi,” tambah Curtis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI