HARIMAU Malaya bakal berdepan kerugian besar sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mengatur sebarang aksi persahabatan ketika jentera antarabangsa FIFA bulan depan.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui beliau sendiri tidak pasti mengenai perancangan sebenar pasukan negara, namun percaya barisan kejurulatihan mempunyai strategi tersendiri menjelang tugasan akan datang.
“Saya tidak pasti (sama ada Harimau Malaya akan adakan aksi persahabatan atau tidak). Tapi mungkin jurulatih (Peter Cklamovski) ada perancangan mereka sendiri.
“Namun, jika kesempatan serta ruang itu tidak digunakan, saya rasa itu satu kerugian,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Mengulas lanjut, Safee melihat pengurusan Harimau Malaya patut memanfaatkan peluang yang ada, terutama dari sudut pungutan mata ranking FIFA yang boleh membantu memperbaiki kedudukan selepas hanya menduduki tangga ke-138 dunia ketika ini.
“Kalau ada perlawanan persahabatan, banyak mata ranking FIFA boleh diraih. Namun, saya lihat mereka ada perancangan yang lain,” katanya.
Sebagai rekod, jendela perlawanan antarabangsa dijadual dibuka dari 1 hingga 9 Jun ini dengan setiap pasukan kebangsaan berpeluang mengatur sehingga dua aksi persahabatan antarabangsa.
Namun sehingga kini, FAM dan pengurusan skuad kebangsaan, Malaysia NT masih belum ada sebarang pengumuman rasmi walaupun negara serantau sudah mengeluarkan senarai pemain yang bakal menjalani kem latihan pusat dalam masa terdekat.
Kali terakhir skuad negara beraksi adalah ketika tewas kepada Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2026, Mac lepas tetapi bakal mengharungi jadual padat apabila kempen Piala AFF bermula Julai depan disusuli Piala ASEAN FIFA (September).














