MANCHESTER – Manchester United mengesahkan bahawa Casemiro telah kembali menjalani latihan menjelang perlawanan terakhirnya di laman sendiri untuk kelab itu.
Pemain tengah berpengalaman tersebut dijangka meninggalkan United pada penghujung musim ini selepas kontraknya berakhir
Skuad kendalian Michael Carrick sedang bersiap sedia untuk menentang Nottingham Forest dalam aksi kedua terakhir mereka musim ini.
Kemunculannya pada sesi latihan meningkatkan kemungkinan untuk Casemiro diturunkan pada perlawanan itu sekali gus bakal membuat penampilan ke-33 untuk saingan EPL musim ini.
Selain Casemiro, Carrick juga menerima berita gembira apabila Manuel Ugarte turut terlibat dalam sesi latihan selepas pulih daripada kecederaan apabila dia dan Casemiro terlepas aksi menentang Sunderland sebelum ini.
Pada perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, Mason Mount dan Kobbie Mainoo diletakkan sebagai gandingan di bahagian tengah sementara dua pemain muda Jack Fletcher dan Tyler Fletcher di letakkan di bangku simpanan.
Kepulangan Casemiro dianggap sebagai suntikan besar buat United ketika seluruh pemain dijangka memberikan aksi terbaik untuk meraih kemenangan sebagai hadiah perpisahan untuk pemain tengah tersebut.
Ugarte juga dijangka menguatkan lagi pilihan Carrick ketika pasukan itu mahu mengesahkan kedudukan tempat ketiga musim ini selepas dibezakan lima mata dengan Liverpool yang berada di kedudukan keempat. – AGENSI














