fbpx
Gambar hiasan

Hati-hati bergurau dan mencela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

NAMPAK kecil tetapi besar, rasa macam gurau-gurau manja biasa-biasa sahaja tetapi rupa-rupanya boleh buat satu Malaysia terasa impaknya.

Benarlah, sebab mulut badan binasa. Namun, sebab mulut juga sesuatu masalah boleh diatasi dengan komunikasi terbaik.

Tiada kisah berat, isu politik Sabah atau pencemaran alam sekitar yang hendak dititipkan di sini.

Sengaja, cerita enteng tentang bahasa diungkitkan penulis memandangkan ada kisah baharu yang menarik juga untuk diperhatikan.

Sejak kecil kebanyakan daripada kita biasa dengan ayat perbandingan dalam percakapan seharian.

Kita juga selalu mencerca tetapi dalam nada bergurau, contohnya, ‘kau ni lembab macam kura-kura’, ‘bodoh macam lembu’ atau ‘becok macam murai.’

Sengaja juga penulis gunakan nama binatang sebagai contoh, sebabnya kaum binatang tidak terlibat dalam soal sensitiviti umum. Kecuali ada kes pengabaian atau penganiayaan.

Jadi, kebiasaan-kebiasaan sebegitu adakalanya membuatkan kita terlupa soal sensitiviti. Mungkin itu yang berlaku kepada penyanyi dan usahawan, Siti Sarah Raisuddin dalam insiden hina Orang Asli yang kecoh sampai jadi macam isu negara baru-baru ini.

Sarah mulanya dikecam netizen ekoran sebuah video mempromosikan sejenis syampu bersama Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn. Bhd., Ridzo Okumura menjadi tular. Dalam video tersebut, Sarah seperti membayangkan rambut tanpa rawatan sewajarnya se­perti rambut Orang Asli.

Hanya dengan sepotong ayat, ribuan komen berbaur hentaman dan kritikan harus ditelan Sarah sehingga memaksanya mahu mengadakan sidang akhbar, namun diganti dengan satu kenyataan permohonan maaf secara rasmi sebagaimana dikeluarkan pengurusannya, Indigital Music.

Tidak cukup dengan permohonan maaf, Sarah bersama pengurusannya telah bertemu sendiri dengan wakil komuniti dan Pengerusi Persatuan Orang Asli, Suhaimi Along di Batu 12, Gombak, Selangor bagi membasuh kekesalannya yang masih bersisa.

Sarah juga menangis dalam video minta maaf yang dikongsikan menerusi Instagram pada malam Rabu lalu.

Sebagai penyanyi yang menjadi figura umum, lebih-le­bih lagi statusnya sebagai ahli perniagaan, tindakan Sarah itu sangat wajar untuk memulihkan reputasinya yang tercemar. Kalau diboikot susah pula kan.

Lebih besar lagi, sebagai manusia. Apabila tersilap percaturan, Sarah bertindak membuang ego dan merendah diri meminta maaf. Tindakan Sarah bukan hanya dipuji netizen bahkan dikagumi rakan-rakan artis.

Dari satu sudut, di sebalik kerendahan hati seseorang sebenarnya terserlah segunung ketinggian budi.

Sebagai iktibar untuk semua, artis atau orang lain, sepopular mana pun, semewah mana kehidupan diraih, jangan disebabkan gula di mulut, ikan dalam belanga kita boleh bercakap apa sahaja tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Seperti kata pepatah, elok bahasa kan hidup, elok budi kan bakal mati. Bahasa yang baik membuat orang disayang seumur hidup, budi yang baik pula membuatkan seseorang akan dikenang selepas mati.

BERITA BERKAITAN