fbpx

Guan Eng berhadapan dua lagi pertuduhan Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi selepas sebutan semula kesnya hari ini

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengesahkan terdapat dua lagi pertuduhan berhubung salah guna harta yang akan dihadapi Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin pada prosiding sebutan semula kes meminta rasuah berkaitan pembinaan terowong dasar laut di hadapan Hakim Azura Alwi Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

“Pihak kami mengesahkan tertuduh akan menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah  Sesyen Butterworth dan merupakan pertuduhan terakhir yang akan dihadapi,” katanya.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu,
membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding sama, Guan Eng turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan menerima rasuah yang dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 10 Ogos lalu dibacakan semula terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, George Town di Pulau Pinang.

Pertuduhan itu dikemukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Wan Shaharudin kemudian memohon tarikh 12 Oktober depan bagi sebutan semula kes seterusnya termasuk kes di Mahkamah Butterworth yang akan di pindahkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI