fbpx

California hadapi kebakaran paling besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota bomba cuba memadamkan api semasa Kebakaran Creek di daerah Madera, California kelmarin. – AFP

LOS ANGELES, California – Kebakaran hutan di California memusnahkan lebih 809,371 hektar (2 juta ekar) kawasan atau hampir menyamai lapan kali keluasan Hong Kong , kata jabatan bomba kelmarin ketika kebakaran tidak terkawal itu memaksa ramai penduduk berpindah.

Saiz itu adalah rekod baharu dan berlaku ketika musim kebakaran hutan masih ada dua bulan lagi di California iaitu negeri pa­li­ng padat penduduk di Amerika Syarikat. Ketika ini, beribu-ribu anggota bomba bertungkus lumus cuba memadamkan api.

“Sejak 33 tahun lalu, kami tidak pernah melihat kebakaran memusnahkan lebih 809,371 hektar kawasan hinggalah tahun ini.

“Ini sesungguhnya rekod baharu dan kita belum pun menghampiri penamat musim kebakaran hutan,” kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlin­dungan Kebakaran California (Cal Fire), Lynne Tolmachoff.

Kata Tolmachoff, sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dalam kebakaran hutan tahun ini dan kira-kira 3,800 struktur sama ada musnah atau rosak.

Kali terakhir kawasan hangus menghampiri 809,371 hektar adalah pada 2018. Pada tahun tersebut, sekitar 769,000 hektar (1.9 juta ekar) kawasan musnah.

Setakat kelmarin, lebih 14,100 anggota bomba cuba memadamkan 24 kebakaran hutan berbeza, kata jabatan bomba dalam mesej di Twitter.

Antara kebakaran besar itu ialah Kebakaran Creek yang bermula Jumaat lalu di kawasan berbukit dan kini merebak ke kawasan seluas 31,885 hektar dan masih belum dapat dikawal, demikian menurut Cal Fire.

Satu lagi kebakaran yang mere­bak dengan cepat adalah Kebakaran Oak. Bencana itu bermula Ahad lepas di daerah Mendocino dan telah memusnahkan kawasan seluas 404 hektar.

Dalam pada itu, lebih 200 orang diterbangkan ke tempat selamat sepanjang hujung minggu lalu selepas satu lagi kebakaran hutan merebak pantas, menyebabkan mereka terperangkap dekat Takungan Air Mammoth Pool, timur laut Fresno.

Mereka diselamatkan menggunakan helikopter Chinook milik tentera.

Kebakaran hutan itu diburukkan lagi oleh gelombang haba yang melanda California. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI