fbpx

Projek ternakan ikan sangkar di Sungai Menghulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman Nasrudin (kanan) melepaskan benih ikan kerapu ke dalam sangkar di Tapak Sistem Kultur Laut di Sungai Menghulu di Langkawi hari ini.

Oleh NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Kedah Agro Holdings Berhad bekerjasama dengan FMR Agro Aqua Culture Sdn. Bhd. bagi mengusahakan projek ternakan ikan sangkar dengan kos kira-kira RM2 juta di Tapak Sistem Kultur Laut di Sungai Menghulu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, beberapa jenis ikan akan diternak di situ antaranya ikan kerapu hibrid, ikan merah dan ikan siakap.

“Pada hari ini, kita melepaskan sebanyak 25,000 benih ikan ke dalam sangkar buat permulaan,” katanya selepas merasmikan Tapak Sistem Kultur Laut FMR Agro Aqua Culture Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Kata beliau, tapak projek itu mengandungi sebanyak 50 buah sangkar dengan keluasan kawasan kira-kira satu hektar.

“Setiap sangkar dijangka boleh menghasilkan kira-kira 1000 tan ikan,” ujarnya.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan tuaian pertama ikan merah boleh dilakukan pada April depan dengan jumlah berat anggaran tuaian sebanyak dua tan.

“Masa tuaian adalah mengikut jenis ikan dan ia dianggarkan mengambil masa antara empat ke enam bulan sebelum ikan mencapai saiz yang dikehendaki untuk pasaran,” ujarnya.

Menurut Azman, sebahagian daripada ikan kerapu akan diproses sebagai filet sejuk beku apabila mencapai berat lima kilogram (kg) setiap ekor.

“Buat masa ini kita menumpukan kepada pasaran tempatan kerana pintu sempadan masih belum dibuka sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu lambakan ikan di Kuala Kedah, Azman menjelaskan keadaan tersebut berlaku susulan pandemik Covid-19 yang berlaku di negeri ini.

“Kalangan pemborong tidak masih bimbang untuk mengambil ikan di situ, walau bagaimanapun kerja-kerja sanitasi di kawasan terlibat telah dilakukan bagi mengurangkan kerisauan peraih dan pemborong hasil tangkapan laut itu,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI