fbpx
Cuaca panas terik tidak menghalang penulis untuk turut sama memeriahkan suasana pancingan ebek ketika musimnya tiba.

Debaran ebek di birai ombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI saya, kelebihan tinggal kira-kira dua kilometer dari pantai ini sering menjadi ‘semangat’ untuk turun memancing.

Hanya berbekalkan udang hidup dan set pancing ‘galah’ surfcasting, deruan ombak yang tenang serta air laut kebiruan menjadi latar sempurna untuk memburu kilauan perak si ebek, walaupun suhu mencecah 36 darjah Celsius setiap hari.

Apa yang menarik, jajaran sebenar kawasan memancing di sini jauh lebih panjang berbanding zon rekreasi rasmi.

Kawasan riadah dianggarkan sekitar dua hingga tiga kilometer, manakala ‘padang pancing’ sebenar mencecah hampir lima kilometer, bermula dari muara lama Sungai

Semerak hingga ke arah sempadan Kuala, Besut, Terengganu.

Jadi tidak hairanlah, ratusan pemancing akan memenuhi setiap inci pantai ketika musim ikan menghimpit pantai, bukan hanya penduduk tempatan, malah dari luar juga akan singgah mencuba nasib.

Seorang pemancing tempatan, Muhammad Hafiz Khairul, 28, berkata, kemunculan ebek di pantai ini bukan satu kebetulan tetapi berkait rapat dengan perubahan musim selepas Monsun Timur Laut reda.

“Air laut menjadi lebih jernih, arus sederhana kuat dan kehadiran anak-anak ikan serta krustasea di pesisir pantai menarik ikan pemangsa se­perti ebek dan lain-lain merapati pantai,” katanya.

Menurut dia lagi, pada waktu ini, suasana pantai cukup meriah, barisan joran terpacak rapat, loceng berbunyi bersahut-sahutan dan so­rakan pengunjung setiap kali ada yang bertarung dengan ikan saiz kasar.

Umpan
Seorang lagi pemancing, Shaiful Anuar Ramlee, 34, berkata, umpan untuk pancing pantai di sini tidak susah, perumpun sarang kekal sebagai pilihan nombor satu kerana keberkesanannya yang terbukti.

Cuma untuk ikan gred baik seperti ebek, umpan udang hidup menjadi pilihan utama.

“Sebagai alternatif, umpan hirisan ikan tamban atau selayang juga masih mampu ‘membuka selera’ ebek. Malah, ada juga pemancing yang menggunakan sotong atau anak ikan hidup.

Barisan joran galah di sepanjang Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh, Kelantan setiap kali musim ikan ebek menghimpit pesisir laut.

“Kebiasaannya, teknik balingan jauh ke zon laluan ikan sering menjadi penentu sama ada pulang dengan hasil atau sekadar cerita,” katanya.

Shaiful lebih gemar menggunakan umpan udang hidup sebesar jari yang dicangkuk pada mata kail nombor 12.

Ia kemudian akan dilempar menggunakan batu ladung nombor tujuh atau lapan.

Teknik lawan

Ikan ebek terkenal sebagai lawan yang agresif. Sebaik sahaja terkena mata kail, ia akan melakukan pecutan awal yang cukup bertenaga, diikuti rontaan kiri dan kanan bagi melepaskan diri.

Inilah cabaran sebenar mendaratkan ikan ini kerana mulutnya lembut hingga menyebabkan mata kail mudah mengoyakkan mulut ikan jika memberi tekanan terlalu kuat ketika berlawan.

Cara terbaik adalah dengan set tekanan drag sederhana dan mengepam ikan naik secara perlahan-lahan dengan merendahkan hujung joran ke paras air.

“Jika berjaya melepasi fasa awal, peluang untuk mendaratkan ebek semakin cerah. Lazimnya, saiz tangkapan di pantai ini sekitar satu hingga tiga kilogram, namun tidak mustahil ada yang mencecah lima kilogram ke atas,” kata seorang lagi pemancing, Farizal Sulong, 58.

Apa pun katanya, sesetengah pemancing berpendapat, waktu ‘emas’ untuk memancing ebek dari pesisir pantai ini adalah ketika perubahan pasang surut air.

“Sama ada joran galah panjang 16 kaki atau joran sependek enam kaki, semuanya boleh mendaratkan ebek kalau ada rezeki,” ujarnya lagi.

Keunikan Pantai Bisikan Bayu bukan sekadar pada panjang pantainya, tetapi struktur dasar laut dan kedudukannya berhampiran muara menjadikan ia laluan semula jadi bagi pelbagai spesies ikan.

Selain ebek, pemancing juga berpeluang bertarung dengan talang, pari, aruan tasik dan ­senangin. Namun, kilauan badan ebek yang seakan berlian di permukaan air tetap menjadi momen paling ditunggu-tunggu.

Bagi kaki pancing, pengalaman bertarung dengan ikan ebek di pantai ini bukan sekadar hobi, ia satu ketagihan. Sekali merasa debarannya, pasti akan kembali lagi, setiap kali musim ikan menjelma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN