fbpx

63 tahun bina empayar perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJARAH perniagaan keluarga Mydin di negara ini amat panjang, melebihi tempoh 100 tahun yang lalu. Ia bermula dengan Gulam Husen Jamal, bapa kepada Mydin Mohamad yang berniaga di Pulau Pinang pada 1918.

Keadaan sosial dan politik yang sukar ketika itu, termasuk Perang Dunia Kedua menjadi saksi kepada jatuh bangun perniagaan keluarga ini sehinggalah Mydin membuka kedai pertamanya di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan pada 1957, tahun sama rakyat Malaysia mula mengecapi nikmat kemerdekaan.

Di premis tersebutlah anak kedua beliau yang kini merupakan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. mempelajari selok belok dunia perniagaan.

Kepada Wartawan Kosmo! IKHWAN IDERIS, Datuk Ameer Ali Mydin mengenang kembali cabaran dunia perniagaan runcit lebih setengah abad yang lalu dan berkongsi dugaan dihadapi usahawan zaman sekarang.

Kedai Mydin pertama yang diwujudkan pada 1957 di Kota Bharu, Kelantan.

Boleh Datuk ceritakan me­ngenai pengalaman awal da­lam berniaga?
Ameer Ali: Pengalaman per­tama yang saya ingat ialah melihat arwah ayah saya menjual barang di kaki lima kedai. Apabila saya sudah besar sedikit kami adik-beradik menolong di kedai selepas pulang dari sekolah, buat kerja rumah pun di sana. Memang saya tak gembira sebab tak dapat bermain bersama kawan-kawan.

Saya membuka kedai pertama saya sendiri di Selangor Mansion pada 1988, seluas 800 kaki persegi (74.32 meter persegi). Saya gunakan nama ayah saya kerana berpendapat ia nama yang bagus untuk perniagaan ini.

Apa cabaran berniaga pada lebih 50 tahun lalu?
Ketika itu semua orang hidup susah jadi kuasa beli kurang. Saya masih ingat kami tujuh beradik berkongsi lauk sepotong ikan tenggiri. Ibu dan ayah pula hanya makan berlaukkan kuah sahaja. Arwah ayah saya hanya makan dua jenis ikan iaitu tenggiri dan ikan selar kuning.

Bagi Datuk, apa cabaran yang paling berat sepanjang menceburi bidang perniagaan?
Paling sukar ialah sewaktu kami membuka pasar raya besar pertama Mydin di Subang pada 2006. Mydin sudah memiliki beberapa buah kedai, namun pemegang taruh seperti pihak pembekal dan institusi kewangan tidak yakin dengan kemampuan kami. Mereka kata Subang ini kawasan golongan berpendapatan pertengahan, tak sesuai untuk Mydin.

Tapi akhirnya kami berjaya dapat pembiayaan dan masih lagi berniaga di sana. Begitulah dunia perniagaan, cabaran yang dihadapi berbeza-beza bergantung kepada tahap perniagaan kita.

Ameer (kanan) melayan kunjungan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di Mydin Cawangan Masjid India, Kuala Lumpur pada 1994.

Sekiranya dibandingkan de­ngan cabaran berdepan pandemik Covid-19?
Tahun ini memang men­datangkan situasi yang amat sukar bagi peniaga, sesuatu yang belum pernah saya hadapi dahulu. Krisis ekonomi pada tahun 2008 dan 1998 dahulu pun tidak seteruk ini. Sepanjang berniaga, saya tak pernah membayangkan akan tiba masanya kita tak benarkan pelanggan masuk ke kedai kita.

Krisis ini mendatangkan impak yang sangat besar kepada aliran tunai kebanyakan peniaga. Alhamdulillah, kerajaan umumkan banyak inisiatif kepada golongan peniaga kecil dan B40.

Mydin sudah memasuki ulang­ tahun ke-63, apa visi Datuk untuk perniagaan ini pada masa depan?
Mydin selepas ini tidak akan sama seperti masa lalu, dunia perniagaan sedang mengalami transformasi yang pantas dengan tumpuan kepada operasi online. Walaupun Mydin akan masih ada bangunan, namun dari segi perkhidmatan banyak berbeza.

Sekarang pun kami sudah mempunyai saluran e-dagang sendiri dan khidmat penghantaran. Untuk kempen dan promosi kami, pelanggan hanya perlu imbas kod QR (quick response).

Apa nasihat Datuk kepada peniaga?
Untuk berniaga kita perlu kekal fokus dan jangan buat kerja lain. Sekarang saya lihat ramai yang berniaga nasi lemak, namun pada masa sama mereka jual tudung dan bawa teksi. Sukar untuk kita berjaya dalam satu-satu bidang sekiranya kita buat ba­nyak benda lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI