fbpx

Sukuk Prihatin dijangka habis dilanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saiz Sukuk Prihatin sebanyak RM500 juta dijangka habis dilanggan dalam masa singkat kerana saiznya tidak besar.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, ini kerana ia bakal mendapat perhatian oleh kumpulan sasaran yang terdiri daripada syarikat korporat dan juga golongan mewah.

“Dalam keadaan sekarang, perbelanjaan awam memberi impak yang lebih pantas untuk menggalakkan kitaran ekonomi.

“Kerajaan sendiri turut menggalakkan rakyat untuk berbelanja dan bukan menyimpan atau membuat pelaburan, jadi saya beranggapan sukuk ini lebih menyasarkan kepada syarikat-syarikat yang ingin melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sukuk Prihatin RM500 juta yang dilancar semalam oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai usaha kerajaan untuk membantu memacu semula ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan Covid-19.

Tempoh langganan sukuk yang boleh dilanggan bermula dengan RM500 sahaja itu menawarkan kadar keuntungan dua peratus setahun selama dua tahun.

Ia hanya boleh dilanggan melalui perkhidmatan perbankan digital dengan menggunakan kemudahan JomPAY dan DUITNow.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid menyifatkan terbitan sukuk tersebut dilihat sebagai salah satu sumber untuk projek pembangunan bagi kepentingan rakyat.

Beliau yang optimis terhadap sambutan baik yang diterima terhadap sukuk tersebut berharap ia akan menjadi satu sumber modal baharu kerajaan dalam keadaan sukar kini.

Jelasnya, tidak mustahil projek pembangunan mega seperti  pembinaan kereta api berkelajuan tinggi boleh dibiayai menggunakan sukuk berbanding meminjam dari luar yang melibatkan kadar faedah tinggi serta dipengaruhi kadar tukaran wang asing.

“Negara kini amat memerlukan wang untuk mengukuhkan kembali ekonomi dan penerbitan sukuk ini memberi peluang kepada rakyat dan sektor korporat untuk sama-sama menyumbang kepada pemulihan,” jelas beliau.

Menurut Baharom, sukuk biasanya diterbitkan di luar negara melibatkan tempoh jangka panjang antara 10 sehingga 20 tahun dengan langganan minimum yang tinggi sekitar RM100,000.

Jelasnya, terbitan sukuk secara digital turut membawa kepada kos yang lebih rendah kerana melibatkan proses lebih ringkas.

“Sukuk prihatin yang dilancarkan pada bulan kemerdekaan ini seolah-olah memberi peluang kepada masyarakat menzahirkan rasa patriotik mereka, manakala hasilnya akan digunakan untuk tujuan pembangunan sekolah dan pemerkasaan usahawan wanita yang dekat dengan hati rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI