fbpx

Hero bukan buruan Fimie Don

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIMIE DON

DALAM sesebuah karya, watak utama, hero atau heroin sering menjadi buruan mana-mana pelakon.Bagi pelakon Fimie Don, aspek tersebut bagaimanapun bukan keutamaan dalam prinsip kerjaya.

Berlakon sejak berusia lima tahun, hakikatnya Fimie tidak pernah terdesak untuk mengejar watak utama dalam sesebuah naskhah kerana menyedari imejnya masih seperti anak remaja.

Sebaliknya, pelakon filem Magika itu selalu berharap diberi watak pembantu. Baginya, watak utama tidak semestinya mencabar.

Bahkan, Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon juga mengakui fizikal dan penampilannya terutama wajah yang masih kelihatan kebudak-budakan menyukarkan dirinya diberi tawaran memegang watak orang dewasa.

Ikuti kupasannya bersama Fimie, 22, ketika ditemui pada sesi fotografi sempena promosi filem terbaharunya berjudul Butak di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Fimie ceritakan tentang penglibatan dalam filem Butak?
FIMIE DON: Saya memegang watak sebagai seorang remaja nakal bernama Panjang. Dia berasal dari sebuah kampung di Pulau Pinang berbeza dengan Butak lakonan Izuan Fitri.

Apa yang seronoknya tentang filem ini adalah latar masa yang berkisarkan era 1960-an. Dari segi pakaian dan bahasa memang lain. Saya sendiri menggunakan dialek Pulau Pinang tetapi tidak susah pun sebab saya memang pandai bercakap bahasa Utara.

Apa yang menariknya tentang filem berkenaan?
Semua. Jalan cerita, barisan pelakon dan pengarahnya sendiri, Sabri Yunus. Saya suka bekerja dengan Sabri sebab dia sangat menitikberatkan soal kualiti. Suasana di set penggambaran yang diolah sama seperti era 1960-an menimbulkan aura berbeza. Jadi bagi penonton terutama orang muda yang mahu tahu kisah masyarakat zaman itu, perlu lihat sendiri menerusi filem Butak.

FIMIE Don percaya, watak pembantu adakalanya lebih memberi impak terhadap sesebuah karya. – SHIDDIEQIIN ZON

 

Bergelar pelakon sejak kecil namun karier anda tidaklah segah mana ketika ini. Apa komen anda?
Saya setuju, sebab pelakon Khir Rahman sendiri pernah cakap, saya sekarang berada dalam fasa pertengahan umur yang masih muda. Penerbit pun tidak tahu untuk tawarkan saya watak apa, sama ada dewasa atau budak sekolah. Saya akui itu antara faktor saya kurang mendapat tawaran lakonan. Mungkin kerana fizikal dan penampilan luaran seperti muka yang masih kebudak-budakan membuatkan saya tidak sesuai bawa watak dewasa.

Pernahkah anda terfikir untuk lakukan perubahan terhadap fizikal demi menyesuaikan diri dengan watak orang dewasa?
Belum masanya lagi. Lagi pun tetap tidak sesuai. Saya pernah simpan janggut tetapi nampak janggal. Seingat saya, saya pernah diberi tawaran bawa watak suami orang dan watak lawan saya dalam cerita itu adalah Shazuwan Hassan. Bagai langit dan bumi, sangat tidak kena.

Jadi daripada merosakkan cerita, saya tolak tawaran tersebut. Adakalanya saya terpaksa memilih watak, tidak boleh main ambil sahaja.

Sudah lama dalam industri, adakah anda terdesak untuk membawakan watak hero?
Sejujurnya saya masih terima tawaran meskipun tidaklah sehebat orang lain. Tetapi jika ditanya soalan sebegitu, saya sebenarnya lebih mengharapkan watak sampingan berbanding hero.

Sebab watak hero belum tentu mencabar, adakalanya sama sahaja contohnya watak anak orang kaya. Sekarang kita boleh tengok, ada banyak watak sampingan yang beri impak hebat kepada penonton.

Sejujurnya, saya jarang dapat watak yang memuaskan. Sebab itu saya buat teater meskipun bayaran yang diterima biasa sahaja. Saya lebih memilih kepuasan berbanding nama dan populariti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI