fbpx

Polis kejar suspek curi kereta, pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang ditahan oleh pihak berkuasa semalam.
Antara senjata yang ditemui pihak polis.

 

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

KOTA SAMARAHAN – Dua lelaki dipercayai suspek kes pecah rumah dan curi kenderaan, telah ditahan polis dalam satu aksi kejar mengejar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, DSP Sudirman Kram memberitahu bahawa satu unit kereta peronda polis (MPV) telah terserempak dengan kereta Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah pasaraya berhampiran Jalan Medan Universiti sekitar jam 6.50 petang.

“Apabila pihak polis menghampiri kereta tersebut untuk membuat pemeriksaan, seorang lelaki tiba-tiba dilihat berlari masuk ke dalam kereta tersebut dibahagian penumpang depan dan terus memecut melarikan diri.

“Pasukan bertindak mengejar kereta tersebut menuju ke Taman Merdang Gayam dengan dibantu oleh sebuah lagi kenderaan MPV.

“Semasa kejar-mengejar, kereta suspek telah menuju ke jalan mati dan berpusing balik lalu melanggar bahagian depan kereta MPV. Pasukan mengejar sekali lagi kereta suspek sebelum kereta suspek terbabas melanggar simen penghadang tanah.

“Kedua-dua suspek iaitu pemandu dan penumpang kereta tersebut cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran tetapi berjaya ditangkap oleh pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek berusia 33 dan 41 tahun, menjumpai pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk modus operandi pecah rumah dan curi kereta.

“Antara barang yang dijumpai adalah 22 unit kunci kenderaan pelbagai jenis, dua unit kunci berbentuk T yang diubah suai dan empat unit mata kunci T disyaki alat untuk pecah dan curi kenderaan,” katanya.

Manakala pemeriksaan pada kereta yang dipandu suspek menjumpai pelbagai peralatan pecah rumah iaitu pemotong besi, satu unit pemutar skru, satu batang pengikir besi, satu batang rotan, satu batang paip getah, sepasang sarung tangan merah/ungu dan 32 unit sarung tangan getah.

Turut dijumpai adalah satu unit senjata jenis ‘double stick’.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas nombor casis kereta turut mendapati kereta tersebut telah dilaporkan hilang di Bintulu pada 4 Ogos yang lalu.

“Kedua-dua saspek dan barang kes dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat dibawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah,” ujarnya.

Katanya lagi, IPD Kota Samarahan akan terus komited dan mempertingkatkan usaha untuk membanteras kegiatan apa jua bentuk jenayah untuk memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan damai dan harmoni serta bebas daripada ketakutan terhadap perlakuan jenayah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI