fbpx

Waspada ancaman virus Covid-19 super-spreader

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

 

KETIKA kebanyakan daripada kita sudah mula menarik nafas lega berikutan ancaman Covid-19 yang dilihat semakin menurun sebelum ini, namun sebuah restoran kecil di pekan Napoh, Jitra, Kedah pula mencuri tumpuan ramai.

Kita sama sekali tidak menyangka restoran nasi kandar itu boleh menjadi lokasi penyebaran virus Covid-19 kluster baharu sehingga menyebabkan hampir 8,000 penduduk dikuarantin.

Ia melibatkan empat mukim di Jitra dan Padang Terap, Kedah serta dua kampung di Sanglang, Perlis terpaksa dikuarantin.

Semuanya bermula daripada pemilik restoran berkenaan yang dikatakan kembali dari kampung halamannya di Sivagangga, India bersama-sama dengan virus Covid-19 sehingga mewujudkan Kluster Sivagangga.

Uniknya, penularan pandemik Covid-19 daripada kluster tersebut dilihat agak luar biasa kerana ia tersebar dengan begitu pantas berbanding kluster-kluster yang dikesan sebelum ini.

Dalam masa yang singkat sejak 28 Julai lalu, seramai 45 orang telah disahkan positif Covid-19 akibat penularan Kluster Sivagangga setakat ini.

Pakar-pakar perubatan mula tertanya-tanya mengenai kemungkinan virus korona melibatkan Kluster Sivagangga terdiri daripada jenis super-spreader sehingga memaksa mereka untuk membuat kajian terhadap virus tersebut.

Jika benar penyebaran virus melalui Kluster Sivagangga ini adalah dalam kategori super-spreader atau virus penyebar super, kita semua tidak boleh memandang enteng mengenai ancaman virus tersebut.

Ini kerana, virus Covid-19 dalam kategori super-spreader lebih berbahaya berdasarkan keupayaannya menjangkiti lebih daripada 10 orang berbanding hanya dua atau tiga individu bagi kategori virus Covid-19 biasa.

Dalam kes di China sebelum ini umpamanya, satu kajian menunjukkan virus Covid-19 super-spreader berupaya menjangkiti lebih 14 orang, manakala ada kes di Korea Selatan, angka mereka yang dijangkiti mencecah hampir 40 orang.

Berdasarkan kajian, individu yang dijangkiti virus super-spreader ini dikatakan akan mempunyai bilangan virus yang jauh lebih tinggi berbanding individu yang dijangkiti virus Covid-19 biasa.

Keadaan itu boleh menyebabkan mereka yang terdedah kepada individu yang dijangkiti virus super-spreader ini amat berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Kerana itu, orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati kerana pertarungan melawan Covid-19 tidak akan berakhir sehinggalah vaksin ditemui.

Apa yang boleh dipelajari daripada kes Kluster Sivagangga ialah, kita hendaklah sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Sikap ambil mudah, leka serta lalai dalam menjaga SOP inilah sebenarnya telah menyebabkan Kluster Sivagangga menular dengan cepat.

Tidak mustahil ia boleh merebak ke seluruh negara jika masih ramai dalam kalangan kita terus berdegil melanggar SOP yang ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI