fbpx

Wanita curi baju dijel 5 hari, denda RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang guru tuisyen yang mencuri 21 helai pakaian milik butik berjenama mewah di Bangsar Sabtu lalu, memakan diri apabila dia dipenjara lima hari dan denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistsret di sini sebentar tadi.

Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Alya Iman Abdul Manab, 28, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah juga turut memerintahkan hukuman penjara lima hari itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada Sabtu lalu dan dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri 21 helai pakaian dengan jumlah keseluruhan RM4,310 milik Syarikat Zara Al-Futtain Sdn. Bhd. di Butik Zara, Midvalley, Lingkaran Syed Putra di sini pukul 7.15 malam pada 8 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Alya yang diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan kesalahan yang dilakukan merupakan kesalahan pertama selain pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

“Dalam kes ini, tertuduh telah memulangkan kesemua barangan yang dicuri selepas dia ditangkap. Jadi saya pohon satu hukuman ringan dikenakan terhadapnya,” kata Muhammad Syafiq.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mahkamah perlu mengambil kira jumlah barangan yang dicuri merupakan barangan yang bernilai tinggi.

Sabtu lalu media melaporkan, seorang guru tuisyen ditahan selepas mencuri 21 helai pakaian milik sebuah butik di kompleks beli belah di Bangsar di sini pada Sabtu lalu.

Wanita berusia 28 tahun itu ditangkap pada pukul 6.30 petang oleh pihak pengurusan butik berkenaan selepas gagal menunjukkan resit pembelian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin berkata, penyelia butik berkenaan melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia mengisi pakaian di dalam beg butik itu.

Hasil pemeriksaan sebanyak 21 helai pakaian bernilai RM4,310 dalam milikan tertuduh.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI