fbpx

Polis cari penduduk tidak keluar saring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad (tiga dari kanan) membuat tinjauan di sekatan jalan raya di Kampung Kuala Sanglang, Sanglang hari ini.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Polis Perlis akan mencari penduduk yang enggan keluar membuat saringan Covid-19 bagi kluster Sivagangga sehingga ke rumah untuk meminta mereka berbuat demikian di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang dekat sini dengan segera.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kehadiran penduduk dari Kampung Tanah Timbul ke klinik kesihatan tersebut pada semalam adalah 100 peratus.

“Hari ini pula giliran penduduk dari Kampung Kuala Sanglang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di jalan keluar masuk Sanglang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula malam semalam.

Kata Surina, polis akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencari penduduk yang belum membuat saringan untuk dibawa ke klinik kesihatan.

“Senarai penduduk itu memang ada dan kita akan dapat mengesan jika ada yang tidak hadir,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, selain tiga SJR iaitu dua di Kampung Kuala Sanglang dan satu di Kampung Tanah Timbul, pihaknya turut mengenal pasti tiga lagi lorong tikus yang melibatkan jalan bendang.

Katanya, lorong tikus yang masing-masing dua di Kampung Kuala Sanglang dan satu di Kampung Tanah Timbul akan ditutup mulai 8 pagi esok iaitu setelah proses saringan selama dua hari bermula pada semalam tamat.

“Kita tidak boleh tutup lagi hari ini kerana penduduk masih lagi menggunakan jalan itu untuk hadir menjalani ujian saringan Covid-19.

“Daripada segi mendapatkan bekalan makanan pula, tidak menjadi masalah kerana kami membenarkan kedai dalam kawasan PKPD secara bersasar dibuka untuk penduduk kawasan itu,” ujarnya.

Tambah Surina, penghantaran perkhidmatan perlu seperti makanan juga dibenarkan masuk ke kawasan ini tanpa memerlukan surat kebenaran.

“Jika ada penduduk yang mahu keluar, mereka perlu mempunyai alasan yang kukuh dan nama mereka akan direkodkan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI