fbpx

Geng Ah Hau aktif pecah rumah lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin memeriksa barangan yang dirampas daripada Geng Ah Hau yang ditumpaskan polis baru-baru ini.

ALOR SETAR – Kelicikan Geng Ah Hau yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di beberapa negeri termasuk negeri ini, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak sejak tahun lalu berakhir apabila empat ahli kumpulan itu ditahan mulai bulan lalu.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 32 hingga 44 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan iaitu di Tikam Batu, Sungai Petani pada 30 Julai lalu dan Brickfields, Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam empat kejadian pecah rumah yang berlaku dalam tempoh sehari pada 22 Julai lalu di Kulim, dekat sini.

“Dalam kejadian itu, mereka disyaki melarikan pelbagai barangan antaranya wang tunai, komputer riba, peralatan elektrik, jam tangan, kamera dan barang kemas bernilai kira-kira RM250,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, susulan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan ahli kumpulan geng berkenaan.

“Hasil siasatan berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki di sebuah rumah di Tikam Batu, Sungai Petani pada 30 Julai lalu.

“Soal siasat dan risikan yang dilakukan kemudian membantu pihak polis menahan tiga lagi lelaki di Brickfields, Kuala Lumpur pada Ahad lalu,” ujarnya.

Menurut Zainuddin, salah seorang daripada mereka yang ditahan di Brickfields dipercayai merupakan dalang utama geng itu.

“Kita percaya masih ada saki-baki anggota kumpulan ini yang terlibat dan kegiatan memburu mereka kini giat dijalankan,” katanya.

Ujarnya, siasatan lanjut mendapati mereka memiliki rekod keseluruhan 49 kesalahan lampau merangkumi pelbagai kes antaranya samun, pecah rumah dan narkotik.

“Kita membuat rampasan antara dua buah kereta sewa jenis Mazda CX-5 dan Honda HRV, 15 telefon bimbit, empat walkie talkie, tujuh jam tangan, dua komputer riba, lima kamera, dua buku koleksi setem serta beberapa peralatan pecah rumah,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 457 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI