fbpx

Daulat tertinggi badan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sistem kehakiman negara berlandaskan pegangan yang adil dan telus tanpa ada campur tangan pihak berkepentingan lain. - Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

 

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.”

Itu keputusan yang dimuktamadkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Naz­lan Mohd. Ghazali kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

Keputusan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu seja­rah Malaysia memandangkan Na­­­jib menjadi bekas Perdana Menteri pertama dihadapkan ke mahkamah, malah memberi gambaran mengenai keadilan sistem kehakiman negara ini.

Meskipun ada sesetengah pi­hak dilihat cuba mempertikaikan keputusan itu, namun kita perlu sedar akan sistem demokrasi ber­parlimen yang diamalkan de­ngan mewujudkan konsep pemisahan dan penga­singan kuasa.

Mengulas mengenai keputusan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta agar semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Katanya, beliau begitu mema­hami perasaan dan sentimen ra­kan-rakan (Najib) terhadap ke­putusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin me­negaskan bahawa Kerajaan Pe­rikatan Nasional (PN) sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Keadaan ini sekali gus mene­pis dakwaan sesetengah pihak kononnya kes dihadapi sese­orang tertuduh mungkin digu­gur­­kan andai kata individu ter­babit mempunyai hubungan is­ti­mewa dengan parti politik me­merintah.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, doktrin pemerintahan negara dibahagikan kepada tiga cabang utama iaitu pemerintah, perundangan serta kehakiman.

Jelasnya, setiap cabang terba­bit mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas masing-ma­sing tanpa ada unsur campur tangan daripada badan yang lain.

“Ini bermakna keputusan di­buat oleh badan kehakiman terhadap bekas Perdana Menteri adalah berdasarkan merit kes tersebut dan ia tidak langsung melibatkan campur tangan daripada pihak pemerintah.

“Keputusan itu jelas menunjukkan bahawa proses demokrasi adalah subur di mana setiap cabang mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan tanpa diganggu badan yang lain,” tegasnya.

Beliau berkata, proses undang-undang berlaku berdasarkan penetapan Perlembagaan dan ia dilaksanakan secara adil tanpa dipengaruhi unsur luar dalam menyimpulkan keputusan kehakiman.

Ujarnya, rakyat dinasihatkan menghormati keputusan itu selain perlu mengetahui bahawa peruntukkan undang-undang turut memberi ruang kepada Najib merayu di Mahkamah Rayuan.

“Andai kata Mahkamah Ra­yuan masih menetapkan keputusan sama, Najib masih mempunyai satu peluang terakhir untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Ia berikutan, keputusan di­buat oleh hakim Mahkamah Ting­gi bukanlah sesuatu yang muktamad kerana Najib masih boleh merayu di Mahkamah Ra­yuan dan Persekutuan,” katanya.

Justeru, rakyat perlu memahami secara terperinci sistem kehakiman negara serta mengamati ketelusan dan keadilan prinsip Demokrasi Berparlimen yang di­amalkan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI