fbpx

Perlis kembali catat satu kes Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Perlis mencatatkan satu kes baharu Covid-19 setelah kira-kira tiga bulan berada dalam zon hijau apabila seorang banduan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand disahkan positif virus tersebut.

Pemeriksaan saringan Covid-19 terhadap 15 banduan PATI Pusat Koreksional di Klinik Kesihatan Beseri di sini semalam mendapati seorang daripada mereka positif.

Berikutan itu, lapan anggota penjara berkenaan yang mengiringi banduan PATI tersebut turut menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Lelaki berusia 26 tahun yang disahkan positif itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19.

Pemeriksaan saringan berkenaan melibatkan lima banduan warga Thailand, sembilan dari Myanmar dan seorang Bangladesh.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof dan memaklumkan pesakit berkenaan kini dirawat di HTF.

Pada 23 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan Perlis sebagai kawasan pertama zon hijau selepas tiada jangkitan baharu dikesan melebihi dua minggu.

Sebelum itu, Perlis mencatatkan 18 kes Covid-19 dengan melibatkan dua kematian.

Pada semalam, tular di media sosial mengenai seorang PATI warga Thailand dilaporkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Beseri dan telah dikejarkan HTF. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI