fbpx

Kembalikan ‘taring’ ampuh PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI, PENGARANG BERITA

 

Enam tahun lalu, hampir setiap bulan masyarakat disajikan dengan berita kejayaan demi kejayaan operasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi tiga pasukan taktikal khas yang ditubuhkan untuk membanteras kegiatan jenayah terancang.

Tiga unit elit itu ialah Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg).

Fokus pasukan taktikal khas yang diasaskan pada 2014 itu adalah untuk menangani jenayah serius melibatkan kumpulan kongsi gelap, judi, pelacuran, senjata api, penyeludupan manusia dan dadah oleh sindiket-sindiket yang bergerak licik.

Antara kejayaan terbesar pasukan khas itu adalah merungkai kes kematian abang tiri pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang mendapat perhatian luas media tempatan dan luar negara pada 2017.

Selain itu, pasukan tersebut turut terlibat dalam Ops Cantas yang dilakukan secara besar-besaran bagi memburu mereka termasuk Orang Kenamaan yang mendalangi aktiviti yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Kewujudan pasukan itu tidak dinafikan memberi impak besar, namun hayatnya tidak lama apabila ia dibubarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 selepas hampir lima tahun berkhidmat dengan penuh cemerlang.

Pembubaran tersebut mengundang pelbagai reaksi antaranya sedih dan kecewa bagi pasukan PDRM serta rakyat Malaysia dan pastinya satu kemenangan buat sang penjenayah.

Minggu lalu, nama Stafoc, Sting dan Stagg kembali disebut di Dewan Rakyat dengan pertimbangan agar pasukan elit itu ditubuhkan semula berikutan keupayaannya yang terbukti berkesan mengurangkan indeks jenayah negara.

Dewan Rakyat diberitahu dengan adanya tiga pasukan khas berkenaan, kadar jenayah menurun 42 peratus sekali gus mewujudkan suasana selamat dalam kalangan masyarakat dan ketakutan masyarakat terhadap jenayah (Fear of Crime) juga semakin berkurangan.

Penulis bercakap dalam konteks persepsi rakyat. Sebagai orang awam, sudah pasti kita mahu bergerak bebas dalam suasana persekitaran yang aman tanpa rasa takut atau bimbang yang melampau.

Bagi penulis, soal keselamatan dan kegiatan jenayah tidak sepatutnya dipolitikkan. Pihak pemerintah perlu memberi keutamaan kepada soal keselamatan rakyat. Bukan itu sahaja, negara yang selamat lebih mudah untuk menarik kemasukan pelabur.

Sekiranya Sting, Stafoc dan Stagg ditubuhkan semula, perancangan teliti perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan tugas dengan unit sedia ada atau mungkin diletakkan di bawah satu badan khas bagi mengelak campur tangan pihak tertentu.

Jangan sampai pisang berbuah dua kali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI