fbpx
Siti Saleha Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Siti Saleha tepis stereotaip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Disanjung impak keberkesanan karakter heroin villian sebagai Mia dalam 7 Hari Mencintaiku 2, Siti Saleha melarutkan bicara tentang impak watak tersebut, survival PKP dan perihal zuriat yang sentiasa menjadi dukungan buatnya dalam setiap doa. Pagi tempoh hari, cuaca cukup cantik.

Langit kebiru-biruan melatari puncak bangunan sekitar Sri Hartamas diiringi kicauan sang burung menjadi petanda awal temu bual eksklusif bersama jelitawan itu berlangsung sempurna.

Seperti yang dijanjikan, Siti Saleha bersama pengurusnya, Didi Albakri tiba tepat pada waktunya di Innai Red yang menjadi lokasi pertemuan istimewa bersama Pose.

“Assalamualaikum. Morning,” terbutir ucap selamat bersulam senyuman manis dari bibir wanita yang mesra disapa Sally itu.

Saat melangkah masuk ke butik mewah berkenaan, matanya ceria, seceria pagi yang menemukan kami tempoh hari.

Lama tidak bertemu, Sally atau nama lengkapnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 30, tidak pernah hilang kemesraan yang ditunjukkan sebelum Kosmo Ahad! menutup operasinya Oktober tahun lalu.

 

SELEKTIF. Sally mengakui agak cerewet dan selektif dalam hal pemilihan karya yang ingin dijayakannya. Hal ini kerana, dia tidak mahu penonton bosan dengan karakter yang dibawanya sama ada di layar perak mahupun kaca televisyen.

Kami berborak kosong bertanya khabar, seketika kemudian heroin yang sedang ‘hangat’ dengan drama televisyen berjudul 7 Hari Mencintaiku 2 (7HM2) itu mula diajak melihat koleksi busana yang ingin digayakan pada sesi fotografi berkenaan.

Dua jam selepas dua konsep gaya dan solekan dilunaskan oleh jurusolek dikenali sebagai Chot bersulam rakaman potret Sally si jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, kami mula larut dalam bicara soal profesion dan selingkar jalur kehidupan.

Risau keluarga

Ditanya bagaimana perjalanan hari-harinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa sehingga fasa pemulihan kini (PKPP), jawab ‘Mia Adriana’: “Agak banyak yang berubah, sebab kita semua tidak pernah alami perkara sebegini, terutama semasa PKP mula-mula dilaksanakan. Menakutkan juga.

“Waktu PKP mula diumumkan, tidak banyak yang boleh saya lakukan. Banyak terperap di rumah sahaja.

“Bagaimanapun, alhamdulillah semuanya okey. Tidaklah sampai mengalami kemurungan seperti mana beberapa selebriti lain. Boleh saya katakan, saya tangani pandemik ini dengan agak baik.

“Selepas PKP dilonggarkan, saya sambung menjalani penggambaran drama 7HM2 yang ketika itu berbaki sekitar 40 peratus untuk ditamatkan penggambaran.”

Adik kepada Sam Bunkface itu bersyukur walaupun kebanyakan aktiviti seni terbantut disebabkan pandemik Covid-19, banyak juga perkara yang boleh diteruskan secara maya.

“Biarpun ada pandemik dan sebagainya, saya masih boleh berhubung dengan ibu saya yang berada di United Kingdom (UK). Kita banyak berhubung melalui panggilan video. Sebenarnya, saya amat risau kerana keadaan di UK lebih teruk berbanding di Malaysia.

“Bapa saya pula tinggal di Klang. Sebelum pandemik, dia jenis yang tidak boleh duduk diam. Usia pula sudah 70-an, jadi memang saya risau. Nasib baik abang saya tinggal bersamanya di sana,” ungkap Sally.

 

SKRIP. Ingin terus melebarkan bakatnya dalam bidang seni, Sally tidak menolak andai suatu hari nanti dia berkecimpung dalam bidang penulisan skri

Dibenci impak Mia

Melanjutkan bicara, perbualan sengaja dialihkan ke cabang karier tambahan pula, drama lakonannya, 7HM2 sedang meledak mengisi tontonan khalayak.
Egois, sensitif, paranoid, menjengkelkan dan bermacam-macam lagi tohmahan dilemparkan terhadap karakter Mia Adriana yang dijayakan Sally.

Dari sisi lain, situasi sedemikian membuktikan sekali lagi aktres itu berjaya menikam jiwa penonton dengan keberkesanan lakonan.

“Rasanya peminat pun boleh bezakan keperibadian saya dengan watak yang dibawa dalam drama tersebut. Jadi, yang dikecam ialah Mia, bukan kecam Sally (ketawa).

“Sebagai pelakon, itu yang saya mahukan. Setiap hari orang bercakap tentang Mia dalam Twitter.

“Sebagai anak seni, menjadi satu kegembiraan andai watak dijayakan menjadi polemik dalam kalangan penonton,” luahnya bersahaja.

Dijentik dengan pertanyaan, apa antara komen paling kesat diterimanya dek penangan watak Mia, balas Sally:

“Tiadalah sampai kena maki melalui voice note seperti yang berlaku kepada pelakon Jasmin Hamid. Tetapi ada komen yang buat saya tergelak.

“Ada yang mahu tampar muka Mia tetapi tidak jadi berbuat demikian kerana Mia cantik (ketawa).”

Menukar haluan cerita, Sally mula membuka ruang peribadinya. Tiga tahun mengemudi bahtera perkahwinan, sama ada mahu atau tidak, rumah tangga tidak lengkap tanpa satu subjek wajib iaitu zuriat.

Siti Saleha disifatkan cemerlang menjayakan watak Mia dalam drama 7 Hari Mencintaimu 2 musim pertama dan kedua.

 

Tak tayang bahagia

Tenang menyusun kata, begini ungkap Sally:
“Saya dan suami sangat kasual. Mana ada pasangan suami isteri dalam dunia ini yang tidak mahukan zuriat. Cuma, mungkin rezeki untuk punya anak belum sampai.

“Saya dan suami sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi bukan bermakna kami tidak berusaha untuk mendapatkan zuriat.

“Doakan yang baik-baik. Kalau sudah sampai waktunya, insya-Allah rezeki untuk menimang cahaya mata itu akan ada.”

Ditebak pertanyaan tentang banyak bahtera rumah tangga dunia selebriti tidak bertahan lama, Sally berkata, tidak adil untuk melabelkan perkara sedemikian hanya kepada golongan selebriti.

“Tidak adil untuk stereotaip bahawa rumah tangga golongan selebriti tidak akan berpanjangan. Kalau sudah jodoh tidak panjang, siapa kita untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi?

“Macam kawan saya, Sharifah Sakinah. Saya percaya dia mempunyai alasan kukuh untuk tidak lagi hidup dengan dengan suami.

“Beginilah, kalau sudah tidak bahagia dalam sesebuah perhubungan atau perkahwinan, mengapa perlu untuk tinggal bersama atau bertahan.

“Seseorang itu berhak untuk membuat keputusan dan menentukan kebahagian kehidupannya,” getus Sally.

 

REZEKI. Sally bersyukur, walaupun pandemik Covid-19 belum berkesudahan, dia tidak putus-putus menerima tawaran berlakon.

 

Diusik persoalan tentang dirinya yang jarang memuat naik sebarang momen atau foto di sosial media bersama suami, jawab Sally tenang: “Sejak mula berkecimpung dalam industri, saya jarang berkongsi hal peribadi kepada umum. Kalau saya ingin kongsi, saya kongsi dan saya tidak akan tunduk dengan kehendak orang.”

“Kalau orang sibuk membuat spekulasi saya tidak bahagia hanya kerana saya jarang berkongsi foto dengan suami, esok lusa saya muat naik satu untuk mereka semua (ketawa).”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN