fbpx

Wibawa Manisah urus estet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Manisah menggunakan pendekatan memimpin melalui teladan dalam mengurus ladang dan berinteraksi dengan para pekerja yang rata-ratanya kaum Adam.

MENGURUS ratusan pekerja lelaki di sebuah ladang bukanlah sesuatu yang mudah, namun wanita berusia 33 tahun itu percaya memimpin dengan memberi contoh yang baik adalah kaedah paling berkesan untuk menguruskan para pekerjanya.

Penolong Pengurus Kanan Ladang Sungang, Manisah Amkaromi yang merupakan satu-satunya ‘bunga’ yang bertugas di ladang tersebut yang terletak di Kunak, Sabah mempunyai kewibawaan tersendiri.

Meskipun terdapat jawatan pengurus yang disandang lelaki, namun selaku penolong, Manisah juga perlu membantu kerja-kerja mengurus di ladang ketika ketiadaan pengurus. Meskipun berlainan jantina, tegas Manisah, dia melayani para pekerjanya seperti seorang rakan.

“Untuk mendapatkan kepercayaan dan rasa hormat daripada bekerja bawahan adalah penting untuk saya sentiasa membimbing dan mengajar mereka dengan tingkah laku yang baik.

“Apa yang lebih penting, saya sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk berbincang dan memberi pendapat masing-masing jika ada masalah yang perlu diselesaikan,” katanya kepada Aura baru-baru ini.

Melalui kaedah sedemikian, pekerja bawahannya terdorong untuk bekerja dengan baik sekali gus meningkatkan budaya kerja dan produktiviti berkualiti.

Tambah Manisah, setiap hari, dia harus menguruskan sepasukan pekerja lelaki yang terdiri daripada lebih 180 pekerja yang mempunyai pelbagai tugas daripada penuaian tanaman hinggalah penjagaan ladang.

Tambah mencabar baginya adalah untuk mengurus ladang semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia pada masa ini. Situasi tersebut benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepadanya kerana perubahan itu juga memerlukannya merangka semula operasi harian.

Tegasnya yang menceburi sektor perladangan kelapa sawit sejak 2008, sebagai seorang pekerja dalam industri yang diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu, keadaan Covid-19 terbukti menjadi pengalaman yang luar biasa baginya.

“Sebahagian daripada tanggungjawab saya sebagai penolong pengurus kanan di Ladang Sungang yang merupakan salah satu estet milik Sime Darby Plantation Berhad adalah untuk menjaga piawaian keselamatan dan kesihatan pekerja di ladang.

“Memasuki tahun ke-12 dalam bidang perladangan, saya telah berdepan pelbagai situasi tetapi tidak seperti ini kerana kami perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan kami,” katanya yang berasal dari Dengkil, Selangor.

Manisah (kiri) memberi taklimat kepada pekerjanya di Ladang Sungang, Kunak, Sabah supaya mengikuti prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Tambahnya, berbanding dengan rutin harian sebelum ini di mana semua pekerja berkumpul di ladang pada pukul 5.30 pagi untuk pemeriksaan, tetapi mengikut SOP baharu dia perlu menjalankan sesi tersebut secara berperingkat dengan maksimum 25 pekerja bagi setiap sesi.

Memeriksa kesihatan pekerja, membuat pembersihan umum secara menyeluruh dan menggunakan pembersih tangan dengan kerap sepanjang hari sudah menjadi standard baharu yang perlu dipraktikkan.

“Sejak saya menghabiskan Cadet Planter Programme di Golden Hope Academy (kini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Academy) pada tahun 2008, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan menghadiri mesyuarat audit secara maya.

“Buat pertama kali sepanjang 12 tahun kerjaya saya dalam bidang perladangan, pensijilan semula Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dilaksanakan bersama juruaudit SIRIM melalui mesyuarat maya,” katanya.

Pengalaman audit maya ini akan kekal sebagai salah satu pengalaman yang istimewa dalam kerjayanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI