Raja Muhammad menunjukkan gambar arwah isterinya, Romaizam di pekarangan HSNZ, Kuala Terengganu hari ini.

Penuhi hajat terakhir isteri menderma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Pembantu Tadbir Universiti Sultan Zainal Abidin menunaikan hasrat terakhir awah isterinya yang meninggal dunia malam tadi untuk menjadi penderma organ.

Raja Muhammad Raja Ali, 45, berkata, organ arwah isterinya, Romaizam Marzuan, 44, yang akan didermakan ialah buah pinggang, hati, tulang dan injap jantung.

“Pembedahan pemindahan organ sedang berlangsung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula pada pukul 3 pagi tadi dan dijangka selesai pukul 7 malam ini.

“Saya difahamkan buah pinggang dan hati arwah isteri sudah mempunyai penerima. Organ itu akan dihantar ke Kuala Lumpur hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Raja Muhammad berkata, arwah isterinya yang meninggal dunia selepas tiga hari tidak sedarkan diri akibat komplikasi asma pernah menyatakan hasrat untuk menderma organ beberapa tahun lalu.

Katanya, arwah Romaizam yang merupakan Penolong Akauntan Pejabat Bendahari Universiti Malaysia Terengganu memberitahu mendaftar sebagai penderma organ bersama tiga adiknya.

“Saya terus membuat pengesahan di HSNZ bagi memenuhi hasrat terakhir arwah isteri selepas berbincang dengan anak-anak dan ahli keluarga. Harap semoga organ yang didermakan ini dapat memberi manfaat kepada insan memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN