PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi bersama isteri, anak dan adik iparnya merupakan empat mangsa yang terkorban dalam insiden pokok tumbang di Jalan Bentong-Raub, Bentong hari ini.
Perkhabaran duka itu dikongsikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh mereka berempat dicucuri rahmat.
“Amat dukacita menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran bersama isteri, Nuriani Mohammad Jafri, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim serta adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri yang terkorban dalam kemalangan di Bentong.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan empat individu maut, manakala seorang lagi cedera selepas trak pikap Ford Raptor yang dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Bentong-Raub berhampiran Lentang.
Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan tersebut dinaiki lima individu termasuk empat sekeluarga. Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia di lokasi.
Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita bersama kanak-kanak lelaki dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang trak pikap itu pula mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE
















