MELAKA – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendera anak perempuan mereka yang berusia sembilan tahun sehingga bengkak, lebam dan berbirat bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 36 dan 35 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mereka sebagai ibu bapa kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tiga bulan didakwa melakukan penganiayaan fizikal dengan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di sebuah rumah di Presint Selendang, Taman 1 Krubong, di siin.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 7 malam, 19 Julai lalu hingga 2 petang, 21 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, mangsa dirotan oleh ibunya yang juga suri rumah dan bapa yang bekerja sebagai pemandu lori kerana menyebabkan adik lelakinya yang berusia enam tahun menangis selain tidak mengemas bilik tidur.
Rohatul membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM10,000, manakala isterinya RM9,000 selain syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE
















