fbpx
SHERRY IBRAHIM

‘Harap pihak berwajib keluarkan kenyataan rasmi, jelaskan situasi sebenar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dikecam hebat selepas bersuara mengenai kes kematian seekor anjing bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang kelmarin, pelakon Sherry Ibrahim mengakui isu berkaitan penderaan dan penganiayaan haiwan memberi impak besar terhadap emosinya.

Menurut Sherry, 43, dia boleh memadam hantaran berkaitan kes tersebut namun memohon pihak berkaitan membuat penjelasan secara terperinci kepada orang awam.

“Saya bukan berniat menyalahkan mana-mana pihak cuma isu berkaitan penganiayaan memang sangat memberi kesan kerana saya seorang yang sayangkan haiwan, tidak kira apa jenis sekali pun.

“Saya tiada masalah untuk menurunkan status tersebut. Namun, saya berharap pihak berwajib terlebih dahulu dapat mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada ketika itu. Sekurang-kurangnya tindakan sudah diambil,” katanya dalam platrofm Threads.

Dalam hantaran berbeza, dia tetap dengan pendirian bahawa pengurusan operasi menangkap anjing liar tersebut boleh dijalankan dengan cara yang lebih baik tanpa mengakibatkan sebarang kematian haiwan.

“Saya masih berpegang dengan apa yang saya rasa. Ada banyak cara lain untuk tangani mengikut akta undang-undang.

“Menyeksa dan membunuh haiwan begitu adalah salah sedangkan ada saja cara yang tidak menyebabkan Rocky terseksa serta mati di tempat kejadian,” katanya lagi.

Tambahnya, dia juga kekal dengan rasa simpati yang tinggi terhadap Rocky.

“Saya tidak akan berasa bersalah kerana mempunyai rasa empati dan simpati yang besar terhadap perkara dilalui Rocky.

“Mereka yang bersalah sepatutnya berdepan dengan akibat atas perbuatan mereka. Tidak semua orang mempunyai perasaan, empati dan pemahaman yang sama tetapi tidak mengapa,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata menghentamnya kerana didakwa tidak memahami situasi keseluruhan kes tersebut dan melemparkan tuduhan tanpa mendengar penjelasan dua belah pihak.

“Pihak berwajib sudah keluarkan kenyataan. Sekurang-kurangnya awak minta maaf.

“Jangan sesuka hati tuduh orang pembunuh, mohon minta maaf.

“Lebih baik diam sebab makin nampak tak cerdik,” komen netizen.

Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan pelbagai pandangan dan luahan berkaitan dengan kes kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Difahamkan, Polis Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan daripada pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN