fbpx
Aktiviti membuat seramik semakin diminati masyarakat kini yang melihat kepentingannya dalam membantu kesihatan mental. – Foto IQBAL ROSLI

Seni seramik terapi emosi pilihan pengamal psikologi, mampu atasi halusinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI pembuatan tembikar atau seramik dipercayai telah wujud di negara ini sejak era perdagangan kuno sekitar abad kelima hingga ke-14.

Kesenian membentuk gumpalan tanah liat menjadi pelbagai barangan seperti cawan, mangkuk, pasu dan pelbagai perhiasan lain bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian tetapi turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Seni pembuatan seramik yang menjadi warisan kraf tertua di dunia itu masih kekal relevan hingga ke hari ini dan menjadi sebahagian daripada terapi rawatan kesihatan mental.

Selama ini, kita mungkin lazim mendengar aktiviti santai sebegini boleh menenangkan fikiran tetapi menerusi artikel ini ia bagai membuktikan sendiri bahawa kegiatan ini sememangnya diminati dan diyakini kalangan pengamal psikologi sebagai terapi kesihatan mental.

Bagi Nurus Saadah Ahmad Suhim, 30, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jarak Jauh (PBJJ) Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minatnya terhadap seni seramik bukan sekadar memberi ruang untuk menghasilkan karya kreatif tetapi menjadi platform memupuk kesejahteraan mental dan keseimbangan emosi.

Latar belakang dalam bidang psikologi membuatkan Saadah melihat seni pembuatan seramik bukan hanya sebagai aktiviti seni atau kemahiran menghasilkan produk. Sebaliknya, sebagai medium terapi yang mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi.

Hal itu mendorong dirinya terus aktif memperkenalkan aktiviti berkenaan kepada masyarakat menerusi program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tentang kesihatan mental.

“Aktiviti pembuatan seramik ini secara tidak langsung dapat membantu seseorang untuk fokus dan melatih mereka agar kekal tenang.

“Saya terlibat dengan aktiviti pembuatan seramik dan secara peribadi perkara ini membantu menenangkan minda dan emosi,” katanya kepada CitaRasa ketika ditemui baru-baru ini.

Orang ramai melakukan aktitiviti seni seramik atau pembuatan tembikar di Zen Ceramic, Subang Jaya baru-baru ini.

Aktif melakukan aktiviti seramik di Zen Ceramic USJ 1, Subang Jaya, Selangor, Saadah mengakui kegiatan ini secara tidak langsung telah memberikan kesan positif buat dirinya.

Katanya, setiap individu mempunyai masalah tersendiri dalam hidup dan hal itu tentu sahaja akan memberi tekanan sehinggakan kesannya dapat dilihat dengan mata kasar.

“Setiap daripada kita pernah berdepan dengan kesukaran sehinggakan jika membuat seramik tidak mampu menghasilkan produk seramik yang baik.

“Saya juga begitu, namun setelah beberapa cubaan, akhirnya saya berjaya menenangkan fikiran, fokus dan tidak terlalu melihat masalah yang ada itu sebagai halangan terbesar.

“Ketika sedang membuat seramik, kita akan berasa seperti berada di dunia sendiri dan fokus hanya tertumpu kepada diri sendiri dan tidak menghiraukan hal yang lain,” ujarnya.

Mengenai seni pembuatan seramik, ia melibatkan beberapa teknik.

Bagi teknik wheel throwing (roda pemutar), tanah liat perlu berada tepat di bahagian tengah agar seimbang, tidak mudah senget atau rosak ketika dibentuk.

Kemudian, selepas dibentuk dan dikeringkan, seramik dibakar di dalam relau pada suhu tinggi sekitar 1,200 darjah Celsius hingga 1,300 darjah Celsius bergantung jenis seramik.

Selain menggunakan roda pemutar, seramik juga boleh dihasilkan melalui kaedah hand building yang merangkumi tiga teknik utama iaitu coiling, slabbing dan pinching.

NURUS SAADAH

Bagi Xin Ning, 22, yang merupakan graduan psikologi Universiti Monash turut melihat aktiviti membuat seramik sebagai salah satu medium untuk menenangkan diri dan terapi buat pesakit kesihatan mental.

Dia yang berpengalaman dalam terapi tingkah laku menyifatkan penglibatan dalam pembuatan seramik juga sebagai medium bantuan untuk dia lebih memahami emosi pesakit kesihatan mental.

Disebabkan itu juga, Xin Ning membangunkan Restlah iaitu platform bengkel kreatif dan gaya hidup untuk mempromosikan kehidupan lebih sederhana (slow living) dan kesihatan mental melalui aktiviti seni.

Ia menyasarkan golongan belia dan dewasa bekerja untuk terlibat dalam aktiviti santai yang mampu milik sekitar kawasan Lembah Klang.

Katanya, rupa bentuk dan cara pembuatan seramik antara salah satu pendekatan untuk memahami permasalahan yang sedang dihadapi mereka.

“Apabila kita bercakap tentang berehat, pasti kita akan fikir sama ada tidur atau duduk tidak melakukan sebarang aktiviti.

“Sebenarnya aktiviti membuat seramik ini juga salah satu cara untuk merehatkan diri dan minda serta pada masa sama memberi kesan positif dari segi psikologi.

“Individu yang mengalami masalah kesihatan mental tidak perlu hanya fokus kepada kumpulan atau individu untuk berkongsi cerita semata-mata.

“Melibatkan diri dengan aktiviti sebegini juga boleh membantu kita untuk menenangkan diri, fokus dan mengekspresikan emosi dalam bentuk produk seramik,” ujarnya.

Bertugas sebagai tenaga pengajar seramik, Nurain Nadirah Mah Hassan berkongsi pengalaman tentang seorang ibu yang kagum dengan perubahan positif anaknya selepas mengikuti kelas pembuatan seramik.

Katanya, kanak-kanak tersebut yang mengalami masalah halusinasi mampu memberikan tumpuan sepenuhnya ketika melibatkan diri dengan aktiviti pembuatan seramik.

“Pada mulanya, ibu itu hanya mahu mencari aktiviti yang boleh membantu anaknya memberi tumpuan kepada sesuatu yang positif.

“Selepas mengikuti kelas, anaknya semakin fokus terhadap seni seramik.

“Ini membuktikan seni seramik bukan sahaja mampu membantu proses pemulihan emosi, malah memberi keyakinan kepada seseorang untuk membina kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.

XIN NING turut melihat pembuatan seramik sebagai medium bantuan dirinya lebih memahami emosi pesakit kesihatan mental.

Tidak hanya menghasilkan produk berasaskan seramik, Zen Ceramic turut menyediakan kelas membuat seramik di lima lokasi iaitu Kota Laksamana Melaka serta SS2 Petaling Jaya, USJ 1 Subang, Setia Alam (Selangor) dan Sri Hartamas (Kuala Lumpur).

Dalam pada itu, Zen Ceramic turut menjalinkan kerjasama dengan APPGM (All Party Parliamentary Group Malaysia) menerusi program Sustainable Development Goals (SDG).

Program ini bertujuan melatih golongan belia, komuniti setempat dan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk yang menghadapi isu kesihatan mental, warga emas atau golongan gelandangan menjadi usahawan dalam seni pembuatan seramik.

Katanya, selain menjadikan aktiviti ini sebagai medium untuk masalah kesihatan mental, ia juga mampu dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan tidak mengira sama ada menjual hasil produk atau menganjurkan bengkel.

“Menerusi program ini kita dapat membantu masyarakat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan memperkasa komuniti melalui pembangunan kemahiran dan peluang ekonomi.

“Di bawah program SDG, kami memberi tumpuan kepada penglibatan golongan muda dalam bidang seramik supaya mereka lebih mengenali seni ini selain melihat potensinya sebagai kemahiran yang boleh dikembangkan pada masa depan,” kata Nurain Nadirah.

Peluang yang ada itu tidak disiakan oleh Muhammad Zulhafiz Mohd. Yusof.

Lebih setahun di Zen Ceramic, peluang mengendalikan kelas telah memberi keyakinan kepadanya untuk merancang membuka studio sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, lokasi yang menjadi pilihan ialah Banting kerana dia melihat kawasan itu mempunyai potensi besar, namun masih kekurangan pusat pembelajaran seramik.

“Saya bercadang membuka studio berhampiran rumah saya di Banting kerana ramai peserta yang datang ke sini sebenarnya berasal dari Banting dan Sepang.

“Apabila saya bertanya mengapa mereka sanggup datang ke Subang, mereka beritahu inilah lokasi paling dekat untuk belajar seramik. Daripada situ saya nampak ada permintaan dan peluang untuk kembangkan bidang ini di kawasan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN