KEMAMAN – Hasrat seorang pekerja restoran makanan segera untuk menyertai program RXZ Members 8.0 tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 258.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Shahrul Mohd. Sabri, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah pada bahagian kepala dan kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Shahrul dikatakan bersama bersama rakan-rakannya dalam perjalanan ke Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus dari Gombak, Selangor untuk menyaksikan program RXZ Members 8.0.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Y15zr yang ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiga hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang jalan.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang konkrit di antara penghadang jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, motosikal Yamaha Y15zr dinaiki mangsa pula terbabas memasuki semula laluan utama.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Muhammad Shahrul sudah meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














